Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKajang — Sambutan Hari Kanak-kanak dan Majlis Apresiasi Hal Ehwal Murid (HEM) Sekolah Kebangsaan Leftenan Adnan (SKLA) berlangsung meriah dengan tema flora dan fauna, sekali gus menjadi platform penting bagi menyemai nilai Malaysia MADANI dalam kalangan murid dan warga sekolah.
Program tahunan itu bukan sahaja meraikan kegembiraan dunia kanak-kanak, malah turut mengiktiraf sahsiah, disiplin serta usaha gigih murid dan guru dalam memantapkan pengurusan HEM serta pembentukan peribadi unggul.
Sambutan Hari Kanak-kanak pada peringkat global mula diperkenalkan pada tahun 1950-an oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi meningkatkan kesedaran tentang hak, perlindungan dan kesejahteraan kanak-kanak. Di SKLA, nilai tersebut diperkukuh melalui pendekatan MADANI yang menekankan ihsan, hormat, perpaduan dan kesejahteraan.
Majlis diserikan dengan pelbagai persembahan seperti tarian, nyanyian solo dan duet yang bukan sekadar hiburan, tetapi medium memupuk keyakinan, kreativiti dan kerjasama murid selain menyemai kecintaan terhadap seni dan warisan budaya.
Budaya penghargaan turut diperkukuh melalui penyampaian anugerah seperti Anugerah Kebersihan dan Keceriaan, Anugerah Sahsiah Terpuji Murid serta beberapa Anugerah Khas Guru sebagai pengiktirafan terhadap komitmen warga sekolah dalam membentuk amalan baik.
Secara keseluruhan, sambutan tersebut berjaya mengukuhkan hubungan antara guru, murid dan PIBG, selain menyemai nilai hormat, tanggungjawab dan jati diri selari dengan visi Malaysia MADANI. Penganjuran ini membuktikan sekolah terus menjadi medan penting membina generasi berbudaya, berakhlak dan berdaya saing.