Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Pergerakan Pengakap terus diiktiraf sebagai sebuah aset penting negara dalam membentuk jati diri, disiplin dan kepimpinan belia sejak 117 tahun penubuhannya.
Menurut Timbalan Menteri Pertahanan merangkap ADUN Bukit Katil, YB Tuan Haji Adly Zahari berkata, pendidikan kepengakapan telah melahirkan beberapa pemimpin negara dan gerakan tersebut perlu diperkukuh seiring dengan perkembangan semasa.
“Pengakap seharusnya berdaya maju berbanding dengan pertubuhan lain dan perlu bergerak standard dengan askar wataniah,” katanya ketika berucap dalam program Wakil Rakyat untuk Rakyat (WRUR) di DUN Bukit Katil, baru-baru ini.
Jelasnya, pengakap mempunyai aset yang besar serta berpotensi luas untuk dimajukan secara lebih kreatif, termasuklah pembangunan kafe atau hab komuniti seperti yang dilaksanakan oleh gerakan kepengakapan di luar negara.
“Pengakap bukan sekadar pertubuhan, malah merupakan sebuah institusi yang berupaya melahirkan generasi pemimpin pada masa hadapan,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Melaka, Tuan Noor Azmi Ujang menyatakan bahawa penyertaan belia dalam program berkenaan mengukuhkan lagi perkembangan pergerakan pengakap di negeri itu.
“Kami berharap kerajaan terus memberikan perhatian agar usaha membina karakter karamah insaniah dalam kalangan remaja dapat dilaksanakan selari dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya.

Program yang berlangsung dari 7 Disember 2025 hingga 20 Disember 2025 itu turut menyaksikan pelibatan aktif golongan belia dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang mampu memupuk nilai kemaslahatan dan kebersamaan.