Diterbitkan pada 16 Disember 2025, 14:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) komited dalam menjalankan pelbagai program pendidikan, kebajikan dan pembangunan komuniti di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Pada 15 Disember lalu, YWP menganjurkan Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Awal Persekolahan (Back To School) Tahun 2026 di Mayor’s Courtyard Lot. 11, Rumah Tangsi, Taman Tasik Perdana.

Dalam ucapannya, Ketua Pegawai Eksekutif YWP, YBrs. Dr. Abdul Basir V Kunhimohamed, memaklumkan bahawa program Bantuan Awal Persekolahan untuk tahun 2026 akan diadakan dalam beberapa siri.

“Untuk siri pertama melibatkan sebanyak 600 orang pelajar dari 30 buah sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan sebagai simbolik, pada hari ini sebanyak 120 orang pelajar hadir ditemani oleh 30 orang guru pengiring,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik yang menjayakan program Bantuan Awal Persekolahan.

Rakan strategik tersebut adalah Eco-Shop Marketing Berhad (Eco-Shop), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Penyerahan sumbangan dari Yayasan Wilayah Persekutuan kepada JPWPKL. Dari kiri; YBRs. Puan Jessica Ng, YBrs. Puan Rohani Hussin (tiga dari kiri), dan YBrs. Dr. Abdul Basir V Kunhimohamed (kanan sekali).

Tambah Dr. Abdul Basir, kerjasama ini amat penting dalam memastikan program dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan memberikan manfaat kepada golongan yang layak.

“Terima kasih juga kepada Eco-Shop yang memberikan sumbangan tambahan berupa baucar RM50 kepada setiap pelajar yang terlibat. Sumbangan ini amat membantu meringankan persediaan awal persekolahan anak-anak kita,” ujar beliau.

Program ini jelas Dr. Abdul Basir, merupakan inisiatif tahunan YWP dalam membantu keluarga B40 menyediakan keperluan pendidikan anak-anak. Usaha ini juga seiring dengan komitmennya memastikan tiada pelajar tercicir daripada pendidikan akibat kekangan ekonomi.

“Setiap pelajar menerima bantuan bernilai RM150, merangkumi yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pembelian kelengkapan asas persekolahan, sukan atau kokurikulum melalui koperasi sekolah. Dengan adanya bantuan ini, kami berharap para pelajar dapat memulakan sesi persekolahan dengan lebih bersedia, lengkap dan berkeyakinan,” ujar Dr. Abdul Basir.

Dr. Abdul Basir juga menegaskan bahawa program ini bukan sekadar pemberian bantuan, tetapi merupakan satu usaha berterusan untuk memastikan setiap anak di Wilayah Persekutuan mendapat peluang pendidikan yang adil tanpa mengira latar belakang.

Sementara itu, jurucakap Eco-Shop, Jessica Ng berkata, sebagai jenama yang memberi khidmat kepada komuniti di seluruh negara, Eco-Shop melihat peningkatan kos sara hidup memberikan kesan kepada sesebuah keluarga, terutamanya pada permulaan sesi persekolahan yang baharu.

“Eco-Shop yakin kerjasama dengan YWP, DBKL dan JPWPKL akan membolehkan kami menyumbang secara lebih mampan. Kami melihat inisiatif ini bukan sahaja sebagai bantuan kepada pelajar, malah sebagai bentuk pelaburan untuk membantu generasi masa hadapan yang akan membentuk kemajuan Malaysia,” tambah beliau.

Kempen ini turut menyatakan kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan ibu bapa di Malaysia dalam mendepani tekanan kos sara hidup, termasuk kos persiapan persekolahan anak-anak.

Menerusi kerjasama antara YWP, Eco-Shop, DBKL dan JPWPKL, satu sistem sokongan yang kukuh dan mampan demi manfaat para pelajar, keluarga dan komuniti di Kuala Lumpur, telah dapat dibina.

Yang turut hadir dalam acara tersebut ialah Pengurus Besar Pemasaran Eco-Shop YBrs. Puan Stella Soon; Pengarah, JPWPKL YBrs. Tuan Megat Affandi Datuk Wira Hj. Ismail; Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Kesejahteraan Bandar, Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar, DBKL, YBrs. Puan Hasliza Abdul Hamid; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, YBrs. Puan Rohani Hussin serta kakitangan YWP, Eco-Shop, DBKL dan JPWPKL.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi