Diterbitkan pada 24 Disember 2025, 15:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
 YBrs. Encik Kevin Soh (kiri), YB Anfaal Saari, YBhg. Datin Siti Hawa Mohd, dan YBhg. Datuk Wira (Dr.) Ameer Ali dalam Jelajah Generasi Pintar (JGP) yang berlangsung di Mydin Mall, semalam.

Subang Jaya – Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) dengan sokongan rakan kerjasama, Abaro, meneruskan komitmen membantu keluarga kurang berkemampuan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Jelajah Generasi Pintar (JGP) dengan menyalurkan bantuan persekolahan sesi 2026 kepada lebih 1000 pelajar daripada golongan B40 di seluruh negara.

Penyampaian bantuan tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, YB Anfaal Saari, dalam satu majlis yang berlangsung di Mydin Mall, di sini, semalam.

Dalam majlis berkenaan, sebanyak 50 orang pelajar telah menerima bantuan kelengkapan persekolahan merangkumi pakaian seragam, beg sekolah, alat tulis serta keperluan asas lain sebagai simbolik kepada lebih 1000 penerima bantuan yang terlibat dalam program tersebut di seluruh negara.

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi Abaro, YBrs. Encik Kevin Soh; Pengarah Urusan MYDIN, YBhg. Datuk Wira (Dr.) Ameer Ali serta Pengarah MYDIN, YBhg. Datin Siti Hawa Mohd.

Menurut YBhg. Datuk Wira (Dr.) Ameer Ali, program tahunan itu dilaksanakan dengan kerjasama wakil-wakil rakyat setempat bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara bersasar kepada pelajar yang benar-benar memerlukan, khususnya dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.

“Melalui pendekatan ini, MYDIN berharap dapat meringankan beban kewangan ibu bapa serta memberikan motivasi kepada pelajar untuk memulakan sesi persekolahan baharu dengan lebih yakin,” katanya.

Sementara itu, program Jelajah Generasi Pintar dijadualkan diteruskan di beberapa cawangan MYDIN lain antaranya termasuklah Kuala Terengganu (Terengganu), Tunjong (Kelantan), Samariang (Sarawak), Jengka (Pahang) dan MTC, Melaka.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif MYDIN Prihatin, platform CSR syarikat yang dijayakan bersama-sama dengan rakan strategik perniagaan dan pembekal, dengan fokus menyantuni golongan memerlukan menerusi bantuan kebajikan dan pendidikan secara berterusan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi