Diterbitkan pada 2 Januari 2026, 11:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) memperkukuh usaha pemerkasaan jenama sebagai sebahagian daripada hala tuju strategik organisasi pada tahun 2026, selaras dengan visi melahirkan belia berdaya saing pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Menurut Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Profesor Dato’ Dr. Haji Mohd Zin Bidin, pengukuhan jenama dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pergerakan pengakap kekal relevan, inklusif serta diyakini sebagai platform pembangunan belia berimpak tinggi.

Beliau menyatakan bahawa antara tumpuan utama ialah pelaksanaan pendekatan pengakap berasaskan komuniti yang menekankan pelibatan aktif masyarakat dalam aktiviti kepengakapan serta pembangunan sosial setempat, sekali gus mendekatkan pergerakan itu dengan komuniti akar umbi.

Mejar Jeneral (B) Profesor Dato’ Dr. Haji Mohd Zin Bidin menambah bahawa inisiatif Sahabat Pengakap terus diperkasakan sebagai platform kolaborasi strategik yang melibatkan alumni, rakan industri, badan korporat dan komuniti awam bagi menyokong pelaksanaan program serta pembiayaan aktiviti pergerakan pengakap.

Mengulas lanjut, beberapa program berskala besar bakal dirancang pada 2026 termasuk penganjuran Jambori Malaysia 2026 di Pulau Pinang bersempena dengan ulang tahun ke-60 penganjuran serta Terengganu International Jamboree (TIJ 100) yang dijadual berlangsung pada Disember 2026  pada peringkat antarabangsa.

Tambahnya, aktiviti tahunan seperti JOTA-JOTI dan sambutan Hari Pengakap Malaysia akan diteruskan bagi memastikan pergerakan pengakap kekal relevan dalam era digital, sejajar dengan agenda pembangunan belia dan modal insan negara.

“Melalui perancangan menyeluruh ini, pengakap Malaysia bertekad untuk terus melahirkan generasi muda yang berjiwa kepimpinan, berintegriti dan mampu memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat, negara dan komuniti global,” katanya ketika ditemu bual dalam program Apa Khabar Malaysia di BERNAMA TV, baru-baru ini.

Beliau turut menegaskan kepada ibu-bapa dan masyarakat agar melihat penyertaan dalam pergerakan pengakap sebagai pelaburan jangka panjang dalam pembentukan sahsiah dan kepimpinan belia.

“Dengan rekod kejayaan lebih satu abad di seluruh dunia, pengakap terbukti berperanan melahirkan belia yang berdisiplin, bertanggungjawab, berdaya tahan serta mempunyai semangat berpasukan yang tinggi,” jelasnya lagi.

Mejar Jeneral (B) Profesor Dato’ Dr. Haji Mohd Zin Bidin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi