Diterbitkan pada 11 Januari 2026, 15:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tumpat – Bermula 6 Januari 2026, Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru (K9) secara rasmi dijenamakan semula dengan gelaran baharu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Beluru Model Khas Komprehensif (K11), sekali gus menjadi sekolah model K11 pertama di negeri Kelantan.

Pengarah JPN Kelantan, YBrs. Puan Norina ketika menyampaikan sumbangan peralatan persekolahan kepada satu daripada murid di sekolah tersebut.

Bersempena dengan penjenamaan semula nama sekolah tersebut, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBhg. Datuk Wan Hashim Wan Rahim telah mengadakan lawatan kerja ke sekolah berkenaan bagi meninjau pelaksanaan operasi institusi pendidikan tersebut, hari ini.

Lawatan di SMK Pulau Beluru, Palekbang, Tumpat Kelantan turut melibatkan perbincangan berkaitan pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia, selaras usaha memastikan kemudahan pendidikan berkualiti dan inklusif dapat dinikmati oleh murid di seluruh negara.

Menurutnya, walaupun berstatus sekolah menengah, SMK Pulau Beluru Model Khas Komprehensif (K11) masih mengekalkan penawaran pendidikan prasekolah, pendidikan khas rendah serta aliran perdana Tahun 1 hingga Tahun 6.

Di peringkat menengah pula, sekolah berkenaan menawarkan pendidikan khas menengah dan aliran perdana Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4, sebelum melahirkan kluster pertama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2027.

“SMK Pulau Beluru Model Khas Komprehensif (K11) berhasrat melahirkan kluster pertama SPM pada tahun 2027, sekali gus menjadi contoh pelaksanaan pendidikan komprehensif yang merangkumi pendidikan rendah, menengah dan pendidikan khas dalam satu ekosistem sekolah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, YBrs. Puan Siti Norina Muhammad berkongsi gambaran keseluruhan pembukaan sekolah bagi sesi persekolahan tahun 2026 di negeri ini.

Menurutnya, sebanyak 595 buah sekolah beroperasi di Kelantan bagi sesi 2026, melibatkan 417 sekolah rendah dan 178 sekolah menengah.

“Dari segi sumber manusia, sebanyak 28,751 orang guru bertugas, merangkumi 15,981 guru sekolah rendah dan 12,789 guru sekolah menengah, termasuk pentadbir sekolah.

Jumlah murid yang berdaftar pula adalah sebanyak 333,206 orang, terdiri daripada 204,389 murid sekolah rendah dan 128,817 pelajar sekolah menengah, termasuk 25,854 murid Tahun 1 dan 26,596 murid Tingkatan 1 yang memulakan sesi persekolahan baharu,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, JPN Kelantan telah membuat persediaan rapi bagi memastikan pembukaan sekolah berjalan secara selamat, terancang dan kondusif, merangkumi aspek pengurusan murid, penugasan guru mengikut opsyen, kebersihan dan keselamatan prasarana, serta kebajikan dan kesejahteraan murid.

“Untuk tahun 2026, fokus utama pendidikan di Kelantan merangkumi pengukuhan literasi dan numerasi asas, kesejahteraan murid dan guru, pembentukan disiplin dan jati diri selari nilai MADANI, penggunaan teknologi pendidikan secara berhemah, serta penglibatan ibu bapa dan komuniti sebagai rakan strategik sekolah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru ibu bapa agar terus memainkan peranan aktif dalam memastikan kehadiran anak-anak ke sekolah, memantau disiplin serta menyokong pembelajaran di rumah, sambil menegaskan komitmen JPN Kelantan untuk terus memantau pelaksanaan sesi persekolahan dari semasa ke semasa.

“Sebarang isu berkaitan dengan pengurusan sekolah, keselamatan murid atau kebajikan warga sekolah akan ditangani segera melalui kerjasama antara sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri, dengan saluran komunikasi rasmi sentiasa dibuka bagi memastikan tindakan pantas dan berkesan,” katanya.

Kredit Foto: Media SMK Pulau Beluru
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi