Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Gabungan Persatuan Radio Amatur Jalur Selatan (JASRA) dan Kelab DXPortable dari Pekan Baru, Indonesia berjaya menganjurkan program Beach On The Air (BOTA) di Pantai Taman Padang Temu, Melaka bermula dari 6 Januari 2026 dan berakhir pada tengah malam semalam dengan merekodkan lebih daripada 900 panggilan antarabangsa dan stesen di Malaysia.
Program seperti BOTA merupakan aktiviti berkala penggiat radio amatur di seluruh dunia di pantai terpilih di negara masing-masing bagi memperkenalkan keindahan pantai sebagai kawasan pelancongan kepada dunia luar.
Dari aspek teknikal, BOTA dilaksanakan untuk menguji prestasi peralatan radio amatur berfrekuensi tinggi (HF) serta menilai propagasi setempat.
Pada masa sama, hal ini bertujuan memahirkan pengendali radio menggunakan peralatan untuk berhubung dengan stesen radio amatur di luar negara.
Bagi tujuan komunikasi, BOTA yang dijalankan di Padang Temu menggunakan isyarat penggilan kelab JASRA, 9M4CJS. Perkara tersebut dijayakan oleh dua operator utama, iaitu Sapuan Simon menggunakan isyarat panggilan 9W2FRP dari JASRA Malaysia dan dibantu oleh Timbalan Presiden JASRA, Mustafa Bahari yang menggunakan isyarat panggilan 9W2USM serta Ibrahim Yusuf, 9W2MMU.
Manakala, Davidcy Dave (YC5YC) dari Pekan Baru, Indonesia merupakan wakil tunggal Persatuan DXPortable, Pekan Baru.
Secara keseluruhan sebanyak 938 panggilan telah berjaya dilakukan sepanjang empat hari BOTA berlangsung merangkumi sebanyak 909 stesen radio amatur dari Indonesia dan 16 stesen radio amatur tempatan.
Selain itu, BOTA Padang Temu 2026 berjaya menerima komunikasi dua stesen dari Thailand dan satu stesen, masing-masing dari Rusia, China, Jepun, Korea, Australia, Sri Lanka, New Caledonia serta beberapa negara lain.
Dalam kenyataannya hari ini, pengendali dan operator BOTA, Sapuan Samion menyatakan bahawa program ini bukan sahaja menjadi platform latihan praktikal bagi pengendali radio amatur, malah dapat mengeratkan hubungan persahabatan antarabangsa melalui pertukaran panggilan radio dengan operator dari luar.
Katanya, antara cabaran mengendalikan BOTA ialah propagasi HF yang berubah-ubah terutama pada waktu siang.
“Sebab itu, kami hanya mengendalikan perhubungan dengan stesen radio amatur luar negara pada waktu malam,” jelas Sapuan.

BOTA Padang Temu, Melaka menggunakan frekuensi HF, 7.075 MHz untuk mod digital FT8, serta 14.148, 7.150, 7.140 dan 7.135 MHz. Peralatan yang digunakan bagi menjayakan BOTA merangkumi radio HF YaesuFT 450 antena End Feed Halve Wave EFHW-8010, bekalan kuasa Diamond GSV300 34A serta penjana elektrik petrol 2.8 KW.