Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Shah Alam – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) secara rasmi memperkenalkan Polisi Perlindungan Kanak-kanak (Child Protection Policy) dan manual Sekolah Sejahtera, Sekolah Selamat sebagai langkah memperkasakan keselamatan murid di seluruh negara.
Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, menegaskan bahawa melalui polisi ini, semua pemegang taruh diwajibkan menandatangani Surat Aku Janji bagi memelihara kebajikan murid. Langkah tegas ini selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk menghapuskan isu salah laku, terutamanya gejala buli di sekolah.
“Kita tidak berkompromi dalam soal keselamatan anak-anak. Polisi ini akan diperkenalkan dalam masa terdekat bagi memastikan ekosistem sekolah yang lebih sihat,” ujar beliau dalam sidang media selepas merasmikan sebuah sekolah baharu di Shah Alam, hari ini.
Menyentuh mengenai permulaan sesi persekolahan 2026, YB Fadhlina memaklumkan bahawa, sebanyak 442,000 murid telah mendaftar bagi Darjah 1, manakala pendaftaran bagi Tingkatan 1 mencatatkan angka melebihi 400,000 pelajar.
Selain itu, beliau menyeru ibu bapa untuk hadir ke sekolah bagi menuntut Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 secara tunai. Kehadiran ibu bapa juga diharapkan dapat digunakan sebagai ruang untuk berbincang dengan guru mengenai perkembangan pendidikan anak-anak mereka.
KPM turut mempergiat usaha mengesan murid tercicir melalui program Ziarah Cakna, khusus bagi mengenal pasti murid yang berdaftar, namun tidak hadir ke sekolah. Bagi memudahkan urusan murid yang mempunyai masalah dokumentasi, KPM turut bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Mengenai isu infrastruktur, KPM memuji tindakan pantas Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kerajaan Negeri Selangor dalam membaik pulih empat buah sekolah yang terjejas akibat ribut sebelum ini. Sekolah tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan dan SK Jalan Tanjung.
Daripada jumlah itu, tiga buah sekolah telah memulakan operasi sepenuhnya pada Januari ini. Manakala, sebuah lagi sekolah di Taman Medan dijangka akan beroperasi sepenuhnya menjelang Februari depan sebaik sahaja proses baik pulih tamat sepenuhnya.
Berhubung dengan desakan ibu bapa untuk mengembalikan peperiksaan berpusat seperti UPSR atau PT3, YB Fadhlina Sidek menyatakan bahawa KPM sedang menjalankan kajian menyeluruh. Mandat kajian telah diberikan kepada Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan dan keputusannya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tahun ini juga sebelum sebarang pengumuman dibuat kepada umum.