Diterbitkan pada 15 Januari 2026, 17:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara Tahun 2026, yang berlangsung di Dewan De’ Seri Endon Puspanitapuri, Putrajaya.

Kuala Lumpur – Kerajaan menetapkan tahun 2026 sebagai tahun “Mempercepat Pelaksanaan, Memperhebat Reformasi” bagi seluruh jentera perkhidmatan awam.

Pengumuman itu disampaikan menerusi Amanat Ketua Setiausaha Negara Tahun 2026, dengan penekanan terhadap keperluan mempercepat pelaksanaan dasar serta memastikan hasil yang berimpak tinggi kepada rakyat.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Ketua Setiausaha Negara (KSN), YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menggariskan empat misi utama untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kekal relevan, cekap dan responsif.

Misi utama yang digariskan antaranya termasuklah, semua kementerian dan jabatan diwajibkan menyiapkan perancangan strategik masing-masing sebelum 15 Februari 2026, manakala Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian (JTPK) pertama perlu diadakan selewat-lewatnya pada 31 Januari bagi memantau kemajuan projek pembangunan pada peringkat awal.

Beliau turut menegaskan prinsip “mudahkan urusan, jangan susahkan” melalui pemerkasaan No Wrong Door Policy, yang mengehendaki penjawat awam membantu rakyat mendapatkan saluran perkhidmatan yang betul walaupun aduan diterima di luar bidang kuasa jabatan masing-masing. Selain itu, kemudahan kerajaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyokong pelaksanaan program untuk rakyat.

Dalam usaha memperkukuh kecekapan organisasi, Reformasi Budaya Kerja (RBK) dan Digitalisasi 2026 akan dilaksanakan dengan penekanan kepada disiplin, produktiviti dan penggunaan teknologi. Antara langkah utama termasuklah pelaksanaan pentadbiran tanpa kertas sepenuhnya (paperless) yang meliputi urusan rasmi, mesyuarat serta edaran surat-menyurat secara digital; memperluas penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan kerja; serta memperkukuh layanan pelanggan dan menggalakkan penjimatan tenaga di pejabat.

Peluncuran Pelan Strategik Pusat Kecermelangan Pandu Citra Perkhidmatan Awam 2026-2030.

Beliau juga menekankan kepentingan pelibatan unit komunikasi korporat dalam setiap pembangunan dasar baharu bagi memastikan penyampaian maklumat kepada rakyat menggunakan “bahasa rakyat” yang mudah difahami. Menurut beliau, kefahaman awam merupakan asas kepada pembinaan kepercayaan terhadap kerajaan.

Sebagai penghargaan kepada penjawat awam, kerajaan turut melaksanakan tujuh penambahbaikan kemudahan Cuti Belajar Perkhidmatan Awam yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.

Antara penambahbaikan utama yang diperkenalkan termasuklah pengurangan tempoh perkhidmatan minimum bagi melayakkan cuti belajar bergaji penuh daripada lapan tahun kepada enam tahun.

“Selain itu, kemudahan Cuti Belajar Perkhidmatan Awam turut diperluas kepada kumpulan pelaksana, termasuk kebenaran untuk mengikuti kursus peningkatan kemahiran bukan akademik,” ujar beliau.

“Had umur maksimum bagi kursus jangka sederhana juga dinaikkan kepada 50 tahun, manakala nilai ganti rugi diselaraskan berdasarkan kos sebenar tajaan. Di samping itu, pegawai yang mengikuti pengajian pada peringkat Sarjana boleh dipertimbangkan untuk naik taraf pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD),” tambah beliau lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengesahkan bahawa penjawat awam akan mula menikmati kenaikan gaji melalui pelaksanaan fasa kedua Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bermula pada bulan ini, melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM8 bilion.

Namun begitu, beliau turut mengeluarkan peringatan keras terhadap isu integriti dan rasuah yang boleh mencalarkan imej perkhidmatan awam. Semua ketua jabatan diingatkan supaya memantau pegawai di bawah seliaan masing-masing serta mengelakkan konflik dan sebarang amalan rasuah demi menjaga kredibiliti perkhidmatan awam negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi