Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) melancarkan Infaq Kasih 3.0, yang merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam memberikan tumpuan kebajikan dan kesejahteraan terhadap warga emas, bersempena dengan Majlis Laman Tradisi Ramadan Buffet Review 2026 yang berlangsung di Pentas Utama WTCKL, semalam.
Inisiatif Infaq Kasih 3.0 yang dilaksanakan dengan kerjasama strategik Ikhlas.com ini mengangkat pendekatan yang lebih holistik dengan memberikan tumpuan bukan sahaja kepada bantuan keperluan asas, malah dari segi sokongan emosi dan keprihatinan sosial terhadap golongan warga emas.
Menerusi kerjasama bersama-sama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), program berkenaan akan dilaksanakan di Rumah Sri Kenangan Cheras pada pertengahan bulan Ramadan 2026, melibatkan sebanyak 182 orang warga emas di bawah jagaan institusi tersebut. Antara pengisian yang dirancang termasuk sumbangan bakul makanan, penyediaan juadah berbuka puasa, serta aktiviti interaksi dan pengisian yang bermakna.
JKM berpandangan bahawa pelaksanaan Infaq Kasih 3.0 sebagai inisiatif yang selari dengan usaha berterusan dalam memperkukuh kebajikan, perlindungan dan kesejahteraan warga emas menerusi kolaborasi strategik bersama sektor korporat dan rakan pelaksana.
JKM yang berada di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut berharap inisiatif berkenaan dapat menyemai nilai kebersamaan dan membawa sinar harapan kepada warga emas, khususnya dalam menghayati keberkatan Ramadan yang dijangka bermula pada 19 Februari 2026.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Irmohizam Ibrahim berkata, pihaknya memilih untuk memberikan tumpuan kepada warga emas kerana golongan tersebut memerlukan bukan sahaja bantuan material, malah turut memerlukan sokongan emosi, perhatian dan rasa dihargai daripada masyarakat.
Menurut beliau, bagi menjayakan inisiatif kebajikan ini, WTCKL akan bekerjasama dengan Ikhlas.com sebagai rakan strategik utama yang menyediakan platform perkhidmatan ibadah umat Islam, pembayaran zakat dan pengurusan umrah.
“Berbeza daripada tahun sebelumya yang hanya menumpukan bantuan kepada golongan gelandangan dan miskin bandar, namun pada tahun ini, Infaq Kasih 3.0 mengambil pendekatan yang lebih terarah dengan memberikan perhatian khusus kepada keperluan fizikal dan emosi warga emas,” katanya.
Tambah YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Irmohizam Ibrahim, pendekatan tersebut dirangka bagi memastikan warga emas diraikan secara menyeluruh dan tidak sekadar menerima bantuan material semata-mata.
“Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026, sekaligus mengangkat nilai kemanusiaan, kasih sayang dan keprihatinan terhadap warga emas sebagai usaha mencerminkan jati diri serta imej positif negara di mata dunia,” jelasnya lagi.
WTCKL, ujar beliau, optimis bahawa program Infaq Kasih 3.0 akan terus diperkukuh sebagai platform CSR berimpak tinggi melalui jalinan kerjasama strategik yang lebih meluas pada masa hadapan.
Yang turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Pengarah Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), YBhg. Datuk Seri Akhil Bulat; Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), YBhg. Datuk Che Murad Sayang Ramjan; serta Ketua Pegawai Eksekutif Komersial Ikhlas.com,Tuan Fauzy Wahab.