Oleh Hamdan Abu
Diterbitkan pada 27 Januari 2026, 11:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persatuan Pemancar Radio Amatur Malaysia (MARTS) bakal menguji tahap kesiapsiagaan sistem perhubungan sokongan negara dalam menghadapi situasi bencana kritikal menerusi penganjuran Malaysian Emergency Simulated Test (MySET) 2026 pada 31 Januari ini.

Latihan simulasi berskala nasional ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Planetarium Negara.

Fokus utama MySET 2026 adalah simulasi senario Black Sky, iaitu keadaan kegagalan total infrastruktur kritikal termasuk rangkaian selular, Internet dan grid elektrik yang berpunca daripada bencana alam, serangan siber atau kegagalan sistem berskala besar. Dalam situasi ini, operator radio amatur akan digerakkan sebagai penyedia komunikasi alternatif yang bebas infrastruktur.

Presiden MARTS, Ir. Mohd. Aris Bernawi berkata bahawa simulasi ini merupakan kesinambungan daripada latihan terakhir yang diadakan pada tahun 2019. Simulasi ini bertujuan untuk menilai keberkesanan komunikasi radio amatur merentas negeri serta membangunkan peta relay bagi kejadian bencana.

“MySET 2026 akan memanfaatkan gabungan teknologi komunikasi hibrid. Bagi perhubungan jarak jauh merentas wilayah, kami akan menggunakan Frekuensi Tinggi (HF) melalui teknik Near Vertical Incidence Skywave (NVIS),” kata beliau.

“Manakala bagi komunikasi taktikal jarak dekat dan operasi data digital, jalur Frekuensi Sangat Tinggi (VHF) dan Frekuensi Lampau Tinggi (UHF) akan digunakan,” jelas beliau lagi.

Bagi memastikan liputan komunikasi yang maksimum dan berkesan sepanjang latihan, penggunaan jalur HF 80 meter, 60 meter dan 40 meter akan diutamakan untuk menghubungkan lokasi strategik di seluruh negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi