Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Universiti Teknologi MARA (UiTM) memperkukuh langkah strategiknya dengan menggariskan hala tuju baharu ke arah UiTM 2030, susulan penutupan agenda UiTM 2025.
Perkara ini diumumkan menerusi penganjuran Amanat Naib Canselor 2026, yang turut diserikan dengan Forum Evolusi 7 Dekad UiTM yang berlangsung pada hari ini.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata bahawa amanat tahun ini berfungsi sebagai platform strategik bagi peralihan fasa pembangunan institusi yang baharu.
Menurut beliau, rangka kerja UiTM 2030 dibentuk bagi memantapkan kedudukan universiti tersebut sebagai peneraju utama pembangunan profesional Bumiputera.
“Peralihan ini bukan sekadar perubahan perancangan, sebaliknya satu langkah strategik untuk memastikan UiTM kekal relevan, berdaya saing dan berimpak pada peringkat nasional dan antarabangsa,” jelas beliau.
“Rangka ini dilaksanakan melalui pendekatan inklusif, berpaksikan data dan sejajar dengan aspirasi nasional serta trend pendidikan tinggi global,” katanya dalam ucapan amanat tersebut.
Bagi menggerakkan perancangan strategik tahun 2026, UiTM telah menetapkan empat fokus utama, iaitu Inovasi Akademik, Kecemerlangan Bumiputera, Penyepaduan Jaringan Strategik serta Kesejahteraan Organisasi dan Tadbir Urus.
Dalam pada itu, universiti tersebut turut memberikan penekanan khusus kepada aspek pembelajaran teradun (blended learning), pelibatan industri, transformasi digital serta pembangunan keusahawanan pelajar bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Menyentuh aspek kewangan, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin mengumumkan tema belanjawan bagi tahun 2026 sebagai “Belanjawan Mampan: Kebersamaan Diperkukuh, Akademia Diperkasakan”.
Tema ini mencerminkan komitmen pengurusan universiti dalam menguruskan sumber secara berhemah dengan meletakkan teras akademia sebagai fokus utama.
Sementara itu, Forum Evolusi 7 Dekad UiTM yang diadakan serentak menjadi wadah untuk mengimbas kembali perjalanan universiti sejak penubuhannya pada tahun 1956, sekali gus memperkukuh jati diri institusi itu sebagai tunjang pendidikan Bumiputera negara.