Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Sebanyak 150 Pegawai Teknikal Kokurikulum sekolah rendah dan menengah di daerah ini diraikan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen mereka dalam memperkasakan pembangunan modal insan negara.
Pengiktirafan tersebut diberikan dalam Majlis Apresiasi Kokurikulum Peringkat Daerah Hulu Langat yang berlangsung di Dewan Anggerik, Bangi Golf Resort, di sini.
Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Perancangan) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat, YBrs. Tuan Haji Mohamad Sabri Satar berkata bahawa sumbangan pegawai teknikal amat kritikal dalam merancang dan menyelaras pelaksanaan aktiviti kokurikulum yang berkesan.
Menurutnya, peranan mereka menjadi tunjang dalam melahirkan murid yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI), selaras dengan visi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Majlis ini bukan sekadar satu bentuk penghargaan, malah turut mencerminkan komitmen berterusan PPD Hulu Langat dalam mendukung agenda Malaysia MADANI,” ujar beliau.
“Penerapan nilai kesejahteraan, ihsan dan daya cipta dalam pengurusan kokurikulum ialah kunci kepada pembentukan insan terdidik dan negara sejahtera,” katanya ketika menyempurnakan majlis tersebut.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh profesionalisme itu turut menjadi pelantar bagi memperkukuh ukhuwah dalam kalangan warga pendidik di daerah Hulu Langat, di samping menyuntik semangat baharu untuk terus cemerlang dalam arena kokurikulum pada tahun ini.