Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang– Golongan akademik diseru untuk tidak membiarkan hasil penyelidikan sekadar tersimpan dalam jurnal akademik, sebaliknya perlu menterjemahkan dapatan tersebut dalam bentuk penulisan ilmiah popular agar manfaatnya dapat dinikmati oleh masyarakat umum.
Perkara ini ditekankan oleh YBrs. Dr. Nik Norliati Fitri Md. Nor, dalam satu sesi perkongsian bertajuk “Penulisan Berimpak: Dari Akademik ke Masyarakat” yang berlangsung di Bilik Persidangan, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), pada 30 Januari, lalu.
Menurut Dr. Nik Norliati, platform penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan wadah terbaik yang boleh dimanfaatkan oleh para pensyarah untuk menyebarluaskan ilmu dan kepakaran dalam bahasa yang lebih dekat dan jelas kepada khalayak.
“Hasil penyelidikan tidak seharusnya terhad kepada penerbitan jurnal semata-mata. Hasil tersebut perlu diterjemahkan dalam bentuk yang mudah difahami,” jelasnya.
“Apabila pensyarah menulis secara konsisten dengan gaya bahasa yang mudah, kepakaran mereka, seperti dalam isu warga emas dan penuaan penduduk akan lebih dikenali dan menjadi rujukan utama masyarakat yang mencari maklumat daripada sumber yang tepat,” ujar beliau lagi.

Sesi tersebut turut mendedahkan teknik penulisan seperti cara mengubah gaya akademik yang berat kepada bentuk rencana umum melalui penyusunan naratif yang menarik serta pengolahan isu berasaskan fakta kajian.
Seorang daripada peserta dari bidang Matematik, Dr. Aqlili, mengakui bahawa sesi tersebut telah membuka perspektif baharu baginya.
“Walaupun bidang saya teknikal seperti Matematik, pendekatan yang dikongsikan membantu saya melihat ruang komunikasi ilmu di luar penerbitan teknikal semata-mata,” katanya.
Nada yang sama turut disuarakan oleh Dr. Rafidah, yang berpandangan bahawa penggunaan bahasa Melayu yang betul dan mudah difahami adalah kritikal dalam penulisan umum.
“Pensyarah tidak seharusnya terperangkap dengan penghasilan artikel jurnal sahaja. Kita perlu berani menulis untuk masyarakat,” tegas Dr. Rafidah.

Program ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam merapatkan jurang antara dunia akademik dengan orang awam, sekali gus memperkukuh peranan institusi pengajian tinggi sebagai penyumbang jalan penyelesaian kepada permasalahan masyarakat.