Diterbitkan pada 4 Februari 2026, 06:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak 120,000 pelajar berusia enam hingga 17 tahun di seluruh negara bakal menerima manfaat daripada sumbangan kit Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bernilai RM3.6 juta hasil inisiatif Yayasan MR. D.I.Y. kepada Jabatan Muzium Malaysia (JMM).

Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN), YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid, di Galeri 1, JMM pada hari ini.

Sumbangan sebanyak 120,000 unit kit STEM ini bertujuan untuk menyokong pelbagai program pendidikan dan aktiviti komuniti di bawah JMM sepanjang tahun 2026.

Inisiatif ini direka khas untuk menjadikan muzium sebagai destinasi pembelajaran interaktif, sekali gus menarik minat generasi muda terhadap bidang sains di luar skop buku teks.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN), YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid, menyampaikan ucapan dalam Majlis Penyerahan Kit Stem Yayasan MR. D.I.Y kepada Jabatan Muzium Negara Malaysia.

Menurut YBhg. Dato’ Haslina, kolaborasi strategik ini merupakan sumbangan signifikan kepada ekosistem pendidikan negara yang melangkaui latar belakang kaum, sosioekonomi dan geografi.

Kesinambungan kolaboratif yang bermula sejak tahun 2025 ini menjadikan Yayasan MR. D.I.Y. antara rakan strategik utama dalam menyokong aspirasi JMM bagi memperkukuh literasi STEM dalam kalangan masyarakat,” ujar beliau.

Sumbangan yang telah mula diedarkan sejak 12 Januari lalu tidak hanya tertumpu di Kuala Lumpur, malah turut melibatkan sebanyak 22 buah muzium di bawah seliaan JMM, sebanyak 12 buah muzium negeri dan sebanyak enam buah muzium institusi di seluruh Malaysia.

Selain kit STEM, Yayasan MR. D.I.Y. turut menyalurkan tajaan bernilai RM954,207 merangkumi peralatan bagi program-program utama seperti Program Nostalgia Ramadan Syawal, Bermalam di Muzium, dan Nostalgia Anak Kampung.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN), YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid bersama-sama dengan tetamu kehormat, dan wakil muzium di bawah seliaan JMM, muzium negeri dan muzium institusi selepas penyerahan Kit STEM Mr. DIY.

Sebagai simbolik pelancaran pada hari ini, sebanyak 80 orang pelajar telah menyertai aktiviti STEM secara hands-on. Langkah ini membuktikan keberkesanan kerjasama antara agensi kerajaan dengan pihak swasta dalam memupuk minat terhadap sains dan teknologi, di samping menyokong visi perpaduan nasional.

Antara program yang akan terus mendapat manfaat daripada sumbangan ini termasuklah Program Ceria@Muzium, Muzium Bersama Komuniti serta sambutan Minggu Perpaduan.

Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Bahagian Kolaborasi Strategik KPN, Encik Zaimy Shaari; Timbalan Ketua Pengarah Permuziuman, Encik Mohd. Razaimi Hamat; Pengarah Muzium Negara, Encik Zamrul Amri Zakaria; dan Pengurus Yayasan MR. D.I.Y., Encik Mohd. Fadzrel Abu Bakar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi