Diterbitkan pada 5 Februari 2026, 18:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak 494 kawasan hijau dan lapang di sekitar Kuala Lumpur telah diwartakan secara rasmi, dengan senarai penuh lokasi tersebut kini boleh diakses oleh orang awam secara dalam talian bermula pada hari ini.

Pengumuman penting ini dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Hannah Yeoh, yang menyifatkan inisiatif ini sebagai satu reformasi ketelusan serta pemerkasaan penyertaan awam dalam pentadbiran bandar raya.

Langkah menyiarkan senarai pewartaan dalam laman web Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) ini merupakan inisiatif data terbuka (open data) yang pertama kali dilaksanakan. Usaha ini selaras dengan tuntutan masyarakat sivil dan persatuan penduduk yang telah lama mendesak agar maklumat berkaitan dengan kawasan hijau lebih telus bagi membolehkan warga kota memelihara dan melindungi ruang tersebut.

Menurut YB Hannah Yeoh, pewartaan ini kritikal bagi memastikan Kuala Lumpur berdaya tahan terhadap iklim, khususnya dalam pengurusan air hujan secara pintar untuk mengelakkan insiden banjir yang kerap.

Beliau menegaskan bahawa tanpa pewartaan yang wajar, kawasan hijau berisiko tinggi untuk dilupuskan hak milik atau ditukar guna bagi tujuan lain.

Apabila kerajaan atau sesiapa sahaja ada usaha untuk menukarkan kawasan hijau menjadi tempat yang lain, penduduk dan komuniti mempunyai capaian kepada senarai yang diwartakan. Kalau mereka tidak ada capaian senarai yang diwartakan, mereka tidak boleh bantah. Tetapi dengan adanya peta ini sekarang, mereka mempunyai hak,” ujar beliau.

Bagi memastikan baki tapak kawasan hijau yang masih ada turut dilindungi, Jabatan Wilayah Persekutuan telah menubuhkan pasukan petugas khusus. Pasukan ini akan berperanan mengenal pasti jurang teknikal dan memperkukuhkan penyelarasan antara agensi bagi menyegerakan proses pewartaan baki kawasan yang terlibat pada tahun ini.

Orang ramai boleh menyemak senarai Projek Kawasan Hijau dan Kawasan Lapang yang meliputi 11 parlimen dalam Kuala Lumpur melalui pautan rasmi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi