Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang“Pagi yang hening, di dalam bilik darjah sebuah sekolah pinggir bandar, tiga orang murid Orang Asli duduk menyendiri di penjuru kelas. Bola mata mereka kadang kala memandang ke arah papan putih tetapi fikiran mereka menerawang entah ke mana dan sesekali bercakap-cakap sesama sendiri, Guru bersungguh-sungguh menerangkan sesuatu di hadapan kelas dan sesekali guru melontarkan soalan, namun tiada jawapan. Cuma keriuhan suara murid saling berbincang yang kedengaran tetapi tidak jelas butir bicara. Ketika rakan lain rancak di dalam kumpulan kecil masing-masing, kelihatan tiga orang murid Orang Asli tetap diam seribu bahasa di sudut kelas. Mereka hanya berbisik sesama sendiri di tempat duduk mereka yang berdekatan antara satu sama lain. Mereka akan kekal di situ jika tiada siapa yang memecahkan tembok pemisahnya.”
Situasi begini bukanlah asing, tetapi inilah realiti yang berlaku saban hari di sekolah yang menempatkan anak-anak komuniti Orang Asli. Masyarakat Orang Asli merupakan kelompok minoriti yang unik di Malaysia. Latar belakang budaya, bahasa dan cara hidup mereka berbeza dengan masyarakat arus perdana. Mereka merupakan kumpulan peribumi yang unik dan mempunyai bahasa, budaya dan kepercayaan tersendiri.
Secara umumnya, Orang Asli di Semenanjung Malaysia dibahagikan kepada tiga kumpulan utama, iaitu Negrito, Proto-Melayu dan Senoi. Dalam kategori kumpulan etnik ini pula terdapat subkumpulan masing-masing yang tinggal di sesuatu kawasan penempatan di kebanyakan negeri di Malaysia. Walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan taraf pendidikan komuniti ini, namun masih terdapat isu yang membelenggu pencapaian akademik mereka.
Kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia menunjukkan bahawa kadar keciciran murid Orang Asli masih tinggi, terutamanya pada peringkat menengah. Selain isu keciciran dalam pelajaran, isu utamanya juga melibatkan sikap pasif dalam kalangan murid Orang Asli yang merujuk kurangnya pelibatan aktif dalam proses pembelajaran di sekolah, sama ada dari segi komunikasi, penyertaan dalam kelas atau motivasi untuk berjaya. Sikap pasif dalam kalangan murid Orang Asli ini bukan sekadar isu akademik, tetapi cerminan kepada jurang budaya, kekangan sosioekonomi dan sistem pendidikan yang belum sepenuhnya mengisi keperluan mereka. Sikap pasif yang membelenggu bukan sahaja menjejaskan prestasi akademik, malah boleh menghalang pembangunan potensi diri murid secara menyeluruh.
Faktor Penyumbang
Antara faktor penyumbang kepada sikap pasif murid ini ialah latar belakang sosioekonomi mereka. Kebanyakan keluarga Orang Asli tinggal di kawasan pedalaman dan bergantung pada sumber alam untuk kelangsungan hidup. Sesetengah mereka sudah semakin baik dari segi taraf ekonominya, keluar dari kesempitan ekonomi dan tinggal di perkampungan baharu yang disediakan oleh kerajaan. Namun begitu, faktor kemiskinan dan kekurangan kemudahan asas seperti elektrik, Internet dan pengangkutan menyebabkan murid menghadapi kesukaran untuk belajar secara efektif. Keutamaan keluarga mungkin lebih tertumpu kepada kelangsungan hidup berbanding dengan pendidikan di sekolah, sekali gus menjejaskan motivasi murid. Kadang-kadang mereka kerap tidak hadir ke sekolah kerana membantu ibu bapa menyara kehidupan, keadaan ini menjadi faktor mereka kurang bergaul dengan rakan-rakan di sekolah.
Selain itu, wujud keadaan jurang bahasa dan budaya dalam komuniti setempat. Bahasa pengantar yang digunakan di sekolah, iaitu Bahasa Melayu dan pendedahan kepada Bahasa Inggeris, yang mungkin bukan bahasa utama yang biasa digunakan oleh mereka di rumah menyebabkan mereka berasa asing dan sukar memahami kandungan pelajaran dengan jelas. Murid Orang Asli yang kurang pendedahan kepada bahasa asing menyebabkan mereka tidak suka ke sekolah. Tambahan pula, pendekatan pengajaran yang tidak mengambil kira latar budaya mereka juga boleh menyebabkan mereka berasa terpinggir dan kurang berkeyakinan untuk bersuara.
Seterusnya, pengalaman mereka sendiri yang menghadapi situasi diskriminasi oleh masyarakat setempat menjadi satu daripada faktor penyebab yang mempengaruhi corak pergaulan mereka. Sesetengah murid Orang Asli mungkin pernah mengalami diskriminasi atau pandangan negatif daripada rakan sebaya atau masyarakat luar. Cara masyarakat memandang mereka seolah-olah masyarakat asing telah mewujudkan perasaan tidak selesa dan menyebabkan mereka tidak suka bergaul dan mula menyendiri. Kadangkala, rakan di dalam bilik darjah yang memberikan label seperti “lembap” atau “lemah” menyebabkan mereka mengasingkan diri dan enggan terlibat dalam aktiviti pembelajaran bersama-sama dengan rakan sekelas.
Di samping itu, kurangnya sokongan akademik dan emosi daripada pihak tertentu turut menyumbang kepada sikap pasif seseorang murid. Ketiadaan bimbingan khusus di dalam kelas, guru yang kurang memahami latar belakang atau tiadanya sistem sokongan emosi menyebabkan murid tidak mempunyai tempat untuk meluahkan perasaan atau mendapatkan bantuan. Situasi sebegini mendorong kepada sikap pasif sebagai mekanisme pertahanan diri dan akhirnya mewujudkan perasaan kurang keyakinan atau rendah diri ketika bersama-sama dengan murid yang lain.
Keadaan persekitaran pembelajaran yang tidak mesra di dalam bilik darjah menjadikan murid memilih untuk tidak terlibat di dalam aktiviti kelas. Sekolah yang tidak menyediakan suasana pembelajaran yang inklusif dan mesra budaya menyebabkan murid berasa tidak tertarik atau tidak selesa. Jika guru tidak peka terhadap keperluan akademik dan emosi murid Orang Asli, mereka mungkin tidak akan berusaha untuk melibatkan diri secara aktif. Walaupun banyak sekolah di pedalaman berusaha sebaik mungkin, namun disebabkan kekurangan guru terlatih, bahan bantu mengajar yang sesuai dan kemudahan asas masih menjadi cabaran. Tanpa pendekatan yang sesuai, murid ini tidak melihat pembelajaran sebagai sesuatu yang relevan atau menyeronokkan.
Cara Mengatasi
Bagaimanakah cara untuk mengatasi isu ini? Pelbagai kaedah yang boleh diberi perhatian oleh pelbagai pihak. Pendidikan inklusif dan cakna budaya menjadi asas penting di sekolah untuk menarik perhatian murid. Guru perlu dilatih untuk memahami latar belakang budaya Orang Asli dan mengintegrasikan elemen budaya tersebut dalam pengajaran. Contohnya, menggunakan cerita rakyat tempatan atau situasi di kawasan penempatan yang dekat dengan mereka sebagai elemen pengajaran dan pembelajaran di dalam aktiviti sama ada di dalam bilik darjah atau di luar kelas. Guru menggunakan eleman yang berkait dengan alam semula jadi, dan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman mereka di rumah atau di kampung tempat tinggal mereka.
Selain itu, guru juga boleh melaksanakan program bimbingan khusus dan berterusan terhadap murid sama ada di dalam kelas atau di luar waktu kelas. Murid perlu diberikan bimbingan secara berterusan oleh guru atau mentor yang prihatin. Guru perlu dilatih supaya lebih memahami latar belakang murid Orang Asli dan menggunakan pendekatan yang inklusif ketika berada di dalam kelas. Guru perlu sabar menangani situasi murid yang pasif dan bijak menarik perhatian murid untuk terlibat dengan aktiviti di dalam kelas.
Pelbagai kaedah boleh digunakan untuk menarik minat murid, antaranya termasuklah aktiviti berkumpulan, perkongsian pengalaman dan sesi bercerita. Murid lain perlu diberi kesedaran supaya bergaul dengan murid Orang Asli sama seperti rakan yang lain. Di samping itu, program yang melibatkan alumni juga boleh diketengahkan. Masyarakat Orang Asli yang sudah berjaya dilibatkan dalam program motivasi di sekolah. Mereka boleh menjadi inspirasi dan motivasi kepada murid untuk lebih aktif dalam pembelajaran. Sebagai contoh, pihak sekolah menjemput individu yang telah terbukti berjaya keluar daripada kepompong sikap pasif dan berjaya pada peringkat yang lebih tinggi untuk bersama-sama menyuntik motivasi kepada murid tersebut.
Seterusnya, pihak kerajaan atau agensi berkaitan perlu terus mempergiat usaha membekalkan kemudahan yang sesuai kepada pihak sekolah atau murid Orang Asli di kawasan penempatan mereka dengan kemudahan teknologi atau bahan bacaan yang bersesuaian. Elemen yang perlu diberi perhatian ialah kemudahan Internet, perpustakaan mini yang lengkap dengan bahan bacaan berkaitan dengan sosiobudaya mereka dan pengangkutan ke sekolah. Kemudahan ini bukan sahaja membantu murid belajar dengan lebih selesa, malah menunjukkan bahawa pendidikan mereka dihargai oleh semua pihak.
Di samping itu, pelibatan ibu bapa dan komuniti dalam aktiviti sekolah amat penting, antaranya termasuklah hari terbuka, sukaneka, majlis interaksi ibu bapa dan program motivasi. Apabila ibu bapa menunjukkan minat terhadap pendidikan anak-anak, pasti murid juga akan lebih terdorong untuk aktif dan lebih bersemangat. Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Maka dengan melihat teladan ibu bapa yang aktif melibatkan diri dalam program anjuran sekolah, sedikit sebanyak akan memberikan suntikan semangat kepada murid ini untuk turut aktif.
Komuniti pula perlu dilibatkan secara aktif agar pendidikan menjadi usaha bersama-sama, bukan tanggungjawab sekolah semata-mata. Persoalannya, bagaimanakah hendak menarik minat ibu bapa dan komuniti untuk saling berinteraksi? Tidak dinafikan bahawa peranan pihak sekolah terutamanya guru sebagai pemangkin kepada kejayaan murid amat penting. Pihak sekolah hendaklah membina hubungan yang baik dan mesra dengan ibu bapa melalui program ziarah cakna dari rumah ke rumah. Pendekataan ziarah cakna yang dilaksanakan sebelum ini sebagai intervensi untuk mengatasi masalah kehadiran murid yang boleh juga dimanfaatkan sebagai ruang untuk berinteraksi dengan ibu bapa dan komuniti Orang Asli.
Kesimpulannya, pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang yang memberikan pulangan besar kepada individu dan negara. Dengan sistem pendidikan yang mantap, kita mampu melahirkan generasi masa hadapan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga pembangunan diri secara keseluruhan. Perkara yang paling penting, kita perlu berhenti melihat murid Orang Asli sebagai “murid pasif” semata-mata. Di sebalik sikap diam itu, ada potensi besar yang belum digilap, ada suara insaniah yang perlu didengar dan ada masa hadapan gemilang yang memerlukan perhatian. Sikap pasif dalam kalangan murid Orang Asli bukanlah masalah yang boleh diselesaikan secara sepintas lalu, tetapi memerlukan pendekatan holistik yang melibatkan guru, ibu bapa, komuniti dan pihak berkuasa. Dengan memahami faktor yang menyumbang kepada sikap ini dan mengambil langkah proaktif untuk mengatasinya, kita bukan sahaja membantu murid menjadi lebih aktif dalam pembelajaran, tetapi juga membuka jalan kepada masa hadapan yang lebih gemilang dan bermakna buat mereka.