Diterbitkan pada 9 Februari 2026, 16:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Perdana Menteri, Yang Amat Berhomat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa sebarang pembinaan rumah ibadat di negara ini mesti mematuhi peraturan dan lunas undang-undang bagi mengelakkan pertikaian yang boleh menggugat perpaduan negara.

Berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara pada hari ini, YAB Dato’ Seri Anwar berkata bahawa amalan membina struktur agama sama ada masjid, kuil atau tokong di atas tanah yang bukan hak milik seperti tanah kerajaan atau tanah persendirian tanpa kebenaran adalah tidak wajar dan tidak boleh dipertahankan atas tiket agama.

“Negara kita merupakan negara yang mengutamkan hukum. Pembinaan masjid, kuil dan gereja mesti dibangunkan mengikut peraturan. Tidak boleh membina rumah ibadat dengan merampas tanah orang,” ujar beliau.

“Tanah yang tidak sah, dipaksa atau dirampas tanpa kebenaran untuk dijadikan tempat sah, itu tidak boleh. Keputusan kita jelas, yang tidak sah adalah tidak sah,” tegas beliau lagi.

Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pentadbir tanah di seluruh negara supaya bertindak pantas terhadap percubaan membina struktur haram yang baharu.

Menyentuh isu berkaitan dengan Batu Caves, beliau menjelaskan bahawa tapak tersebut adalah sah dan diiktiraf. Beliau turut menyokong cadangan pembinaan eskalator, sekiranya menepati piawaian keselamatan dan mendapat kelulusan teknikal, memandangkan statusnya sebagai tarikan pelancong dan tempat ibadat yang ikonik.

Pada masa yang sama, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, turut mengingatkan penjawat awam dan masyarakat supaya tidak terpengaruh dengan golongan yang menjaja “separuh kebenaran” dan meniup api perkauman.

Beliau menyeru rakyat supaya mencontohi sifat kemanusiaan Rasulullah SAW yang menghormati sesama manusia tanpa mengira latar belakang agama, demi mengekalkan kestabilan dan keamanan yang dinikmati Malaysia pada ketika ini.

Kredit Foto: Facebook Rasmi Pejabat Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi