Diterbitkan pada 19 Februari 2026, 11:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyeru penjawat awam, khususnya warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi penguatkuasaan, untuk memanfaatkan bulan Ramadan sebagai ruang bermuhasabah bagi meningkatkan mutu kerja dan membanteras rasuah.

Berucap dalam satu majlis bersempena dengan Ramadan, beliau menyifatkan Ramadan sebagai tarbiyatul ruhiyyah atau madrasah kerohanian yang menuntut rasa tawaduk dan rendah diri untuk membaiki kelemahan diri.

Beliau membangkitkan persoalan sama ada ibadah puasa yang dilalui bertahun-tahun lamanya, ada yang mencecah sehingga 20 hingga 40 tahun itu benar-benar berjaya meningkatkan tahap iman, akhlak, sahsiah dan prestasi kerja individu. Menggunakan analogi peperiksaan sekolah, beliau menegaskan bahawa Ramadan merupakan satu bentuk ujian untuk menilai sejauh mana peningkatan disiplin seseorang.

Lebih tegas, YAB Dato’ Seri Anwar memberikan peringatan kepada segelintir pihak yang menunaikan ibadat puasa, namun isu yang membabitkan ketirisan, kebocoran dan rasuah masih berterusan di takuk yang lama. Beliau menggesa agar warga perkhidmatan awam menggunakan peluang pada bulan ini untuk memperbaik kelemahan dan meningkatkan kecekapan.

Walaupun mengakui wujudnya masalah ketirisan, beliau secara terbuka membidas persepsi sinis sesetengah pihak yang melabelkan seluruh penjawat awam sebagai tidak melakukan kerja dan terlibat dengan rasuah. Beliau menyifatkan pandangan serong seumpama itu sebagai kurang wajar.

“Saya bangga dengan prestasi (keseluruhan), tetapi kita akan terus mencari penyelesaian bagi beberapa kelemahan yang masih ada,” jelas beliau.

Beliau turut menyatakan bahawa situasi rasuah negara sebelum ini pernah berada pada tahap yang parah, namun keadaan kini menunjukkan perubahan yang positif. Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan atas tindakan tegas yang telah diambil oleh agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen, Kastam dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani isu tersebut.

Secara keseluruhannya, beliau menzahirkan kebanggaan terhadap prestasi negara yang kekal aman, di samping petunjuk ekonomi positif seperti inflasi dan pengangguran yang terkawal, namun menuntut lonjakan usaha bagi membaiki kelompangan yang masih ada.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi