Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Stadium Titiwangsa kini secara rasmi diangkat sebagai “Rumah” Sepak Takraw, menjadikan satu langkah strategik yang mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap pencapaian serta potensi sepak takraw sebagai sukan kompetitif bertaraf antarabangsa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Hannah Yeoh, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Stadium Titiwangsa yang dimiliki oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah lama berfungsi sebagai pusat penganjuran pelbagai acara sukan dan komuniti.
“Stadium Titiwangsa merupakan satu-satunya stadium tertutup milik DBKL yang menjadi tumpuan untuk agensi kerajaan dan swasta, sekolah serta badan bukan kerajaan untuk penganjuran program dan acara sukan,” katanya dalam perasmian stadium tersebut pada Isnin.
Penjenamaan stadium berkenaan sebagai pusat utama sepak takraw negara dilaksanakan susulan prestasi cemerlang pasukan kebangsaan sepanjang tahun 2025, termasuk kejayaan meraih juara Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia yang berlangsung di Stadium Titiwangsa pada Mei 2025, selain memenangi dua pingat emas di Sukan SEA 2025 pada Disember lalu.
“Susulan daripada prestasi cemerlang pasukan sepak takraw dalam kejohanan peringkat antarabangsa pada tahun 2025, pihak kerajaan khususnya Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan DBKL bersetuju untuk menjadikan Stadium Titiwangsa sebagai Rumah Sepak Takraw,” tambahnya.
Menurut YB Hannah, pencapaian tersebut membuktikan bahawa sepak takraw bukan sekadar sukan tradisi, sebaliknya sebuah sukan berdaya saing tinggi yang memerlukan sokongan berterusan, perancangan strategik serta kemudahan latihan bertaraf profesional.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persekutuan Sepak Takraw Malaysia yang terus memainkan peranan penting dalam pembangunan atlet, penyertaan kejohanan antarabangsa dan pengukuhan struktur sukan, sekali gus menyumbang kepada kejayaan Malaysia di pentas dunia.
“Oleh itu, kewujudan Rumah Sepak Takraw ini menjadi sangat signifikan kerana menyediakan platform latihan yang lebih sistematik, tersusun dan berfokus kepada prestasi tinggi.”
Dalam konteks pembangunan sukan Wilayah Persekutuan, Stadium Titiwangsa turut berfungsi sebagai pusat latihan pasukan sepak takraw Wilayah Persekutuan bagi persiapan menghadapi SUKMA 2026 yang dijadualkan akan berlangsung pada Ogos ini di Selangor.
Bagi menyokong peranan baharu tersebut, DBKL telah dan akan melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan bernilai RM80,000 merangkumi lukisan mural dan identiti Rumah Sepak Takraw, mengecat semula bahagian hadapan bangunan, menaik taraf papan skor kepada LED, penyediaan ruang VIP dan VIP box, penambahbaikan surau, bilik media, bilik stor, tandas lelaki dan wanita, selain kelengkapan peralatan sepak takraw, bilik persalinan dan bilik mesyuarat.
Selain pembangunan infrastruktur, Persekutuan Sepak Takraw Malaysia juga akan mempergiatkan penganjuran Klinik Sepak Takraw yang melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, termasuk penyertaan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sejajar dengan usaha memperluas asas sokongan dan penyertaan sukan tersebut.
Dalam majlis yang sama, satu perlawanan persahabatan antara pasukan Sukan Malaysia (SUKMA) dan pasukan Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) turut diadakan sebagai penghargaan kepada atlet yang telah mengharumkan nama negara.
Turut berlangsung penyampaian sagu hati imbuhan kemenangan kepada lapan atlet DBKL termasuk jurulatih yang berjaya meraih satu pingat emas, dua pingat perak dan lima pingat gangsa pada temasya Sukan SEA 2025.
Penjenamaan Stadium Titiwangsa sebagai “Rumah Sepak Takraw” memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem sukan negara, sekali gus memastikan kesinambungan kecemerlangan sepak takraw Malaysia pada peringkat nasional dan antarabangsa.