Diterbitkan pada 27 Februari 2026, 12:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sanglang –  Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis melalui SIG CommUniCare UiTM Cawangan Perlis dengan kerjasama Persatuan Prihatin Komuniti Negeri Perlis serta Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI) UiTM Cawangan Perlis telah mengadakan Program Jaulah 5.0: Mobile Raya Gift 2026 semalam.

Inisiatif tersebut menyantuni 20 keluarga asnaf di Kampung Simpang Sanglang melalui pendekatan ziarah dari rumah ke rumah, sekali gus menyampaikan sumbangan keperluan Aidilfitri secara terus kepada penerima.

Pendekatan jaulah yang digerakkan ini bukan sekadar menyampaikan bantuan berbentuk material, bahkan menjadi wahana mempererat hubungan antara universiti dan masyarakat.

Kehadiran empat orang pensyarah yang turun padang memperlihatkan komitmen warga akademik dalam menghayati denyut nadi kehidupan komuniti setempat, khususnya golongan yang memerlukan perhatian dan dukungan berterusan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Simpang Sanglang, Encik Ghazali Che Pa dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas keprihatinan pihak universiti.

“Program seperti ini bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga asnaf menjelang Syawal, malah mengangkat maruah dan menyemai rasa dihargai dalam kalangan penduduk. Kehadiran pihak universiti ke kampung kami memperlihatkan bahawa institusi pendidikan tidak terpisah daripada masyarakat, sebaliknya bergerak seiring dalam membina kesejahteraan bersama,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, sinergi antara komuniti dan institusi pendidikan wajar diperkasakan agar usaha pembasmian kemiskinan dan peningkatan taraf hidup dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berimpak tinggi.

Komitmen kemasyarakatan dapat diterjemahkan secara menyeluruh apabila warga akademik turut turun padang dalam memperkukuh jalinan universiti dan komuniti.

Sementara itu, Pengerusi CommUniCare, Encik Abdul Hapes Mohamed menegaskan bahawa Jaulah 5.0 merupakan kesinambungan komitmen berterusan pihaknya dalam memperkasa agenda kesukarelawan universiti.

“Kami percaya bahawa pendidikan yang sebenar tidak terhad di bilik kuliah. Apabila pensyarah dan warga universiti turun menyantuni masyarakat, nilai empati, tanggungjawab sosial dan kepimpinan insaniah dapat diterjemahkan secara langsung. Program ini adalah membuktikan tekad UiTM Cawangan Perlis yang sentiasa komited bagi memastikan tiada komuniti yang terpinggir daripada arus pembangunan,” ujarnya.

Beliau turut menambah bahawa bulan Ramadan merupakan medan terbaik untuk memperkukuh budaya memberi dan semangat kebersamaan.

“Nilai kesederhanaan, keinsafan dan kepedulian sosial yang terkandung dalam bulan mulia ini dizahirkan melalui tindakan nyata, sekali gus menyemarakkan budaya kesukarelawanan dalam kalangan warga universiti,” jelas beliau.

Pelaksanaan Jaulah 5.0 selari dengan agenda pembangunan sosial negara yang menuntut keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan tanggungjawab kemasyarakatan. Inisiatif ini membuktikan bahawa universiti bukan sekadar pusat penyebaran ilmu, tetapi juga institusi yang membentuk warga berintegriti, berempati dan berjiwa masyarakat.

Selain membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga asnaf menjelang Aidilfitri, program ini membuka ruang interaksi bersemuka yang lebih bermakna. Sesi ziarah dan bertanya khabar yang berlangsung memberikan peluang kepada pihak universiti memahami secara lebih mendalam cabaran kehidupan yang dihadapi oleh golongan kurang berkemampuan, seterusnya merangka pendekatan sokongan yang lebih komprehensif pada masa hadapan.

Secara keseluruhannya, Program Jaulah 5.0: “Mobile Raya Gift 2026” memperlihatkan impak berganda bagi memperkukuh jaringan antara universiti dan komuniti, meningkatkan kesejahteraan sosial setempat serta mendukung hasrat negara untuk membina masyarakat yang inklusif, penyayang dan berdaya tahan.

Inisiatif ini sekali gus mencerminkan peranan strategik UiTM Cawangan Perlis sebagai agen perubahan sosial yang aktif menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara, khususnya dalam menghidupkan roh Ramadan sebagai bulan yang menyatukan nilai keilmuan dan kemanusiaan.

Kredit Foto: UiTM Cawangan Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi