Diterbitkan pada 28 Februari 2026, 12:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pernahkah anda mendengar ayat seperti ini?

“Makan sahaja produk ini, dua hari nanti terus hilang sakit.”

“Ini herba asli, tiada kesan sampingan.”

“Produk ini sesuai untuk emak dan ayah yang sakit lutut.”

Anda mungkin melihat iklan seperti ini hampir setiap hari dalam media sosial. Lebih membimbangkan, kadangkala produk inilah yang dibeli oleh ibu bapa kita untuk merawat sakit lutut, gaut atau mengurangkan keletihan badan. Namun begitu, sebahagian daripada produk kesihatan ini mengandungi steroid tersembunyi yang tidak dinyatakan pada label.

Mengapakah Steroid Berbahaya?

Steroid (kortikosteroid) ialah ubat yang sah digunakan dalam perubatan untuk merawat penyakit seperti asma teruk, lupus dan radang sendi kronik. Namun begitu, penggunaannya mestilah dipantau oleh doktor perubatan yang bertauliah.

Berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam Malaysian Journal of Pharmacy (2025) mendapati bahawa steroid merupakan antara bahan paling kerap ditemukan dalam kandungan ubat yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kajian ini berdasarkan hasil rampasan ubat tiruan yang dilakukan di Pahang melibatkan sebanyak 239 kes. Lebih mengejutkan, sebanyak 74.6 peratus produk yang dirampas di kawasan luar bandar mengandungi bahan berjadual (Jadual Racun Akta Racun 1952). Hal ini menunjukkan bahawa produk berbahaya ini telah berada di pasaran dan telah sampai kepada pengguna.

Apabila steroid dicampurkan secara haram dalam produk “herba” atau “ubat tradisional” dan dimakan oleh pengguna tanpa kawalan dalam jangka panjang, boleh menyebabkan berat badan naik mendadak, gangguan hormon, sistem imun menjadi lemah dan kerosakan pada buah pinggang secara senyap.

Realiti Penyakit Buah Pinggang di Malaysia

Menurut Laporan Malaysian Dialysis and Transplant Registry (MDTR) 2022, sebanyak 9592 orang pesakit baharu telah memulakan dialisis pada tahun tersebut dan sebanyak 51 000 orang pesakit aktif telah menjalani rawatan dialisis di Malaysia.

Kos rawatan hemodialisis adalah sekitar RM2,000 hingga RM4,000 sebulan, bersamaan dengan RM24,000 hingga RM48,000 setahun. Bagi pemindahan buah pinggang, kos tahun pertama rawatan boleh mencecah sehingga RM100,000 termasuk kos pembedahan dan ubat susulan. Bayangkan jika ibu atau bapa anda terpaksa menjalani dialisis dua hingga tiga kali seminggu disebabkan oleh produk “herba” yang tidak berdaftar dengan KKM.

Anda Juga Berisiko

Risiko ini bukan sahaja terjadi kepada golongan berusia, namun anda juga berisiko menjadi sasaran produk tiruan. Antara produk tersebut termasuklah pil kuat untuk lelaki, ubat tambahan untuk bina badan, ubat cepat kurus dan krim kulit “ajaib”. Sesetengah produk ini mengandungi steroid yang boleh mengganggu hormon, pertumbuhan dan kesihatan jangka panjang. Keinginan untuk kelihatan lebih maskulin, lebih kurus atau lebih bertenaga boleh membawa kepada keputusan yang berisiko.

Peranan Generasi Berilmu

Sebagai masyarakat yang prihatin, anda boleh menyemak nombor pendaftaran MAL pada produk kesihatan yang anda beli. Gunakan aplikasi Quest 3+ NPRA Product Status (https://quest3plus.bpfk.gov.my/pmo2/index.php) untuk memastikan produk kesihatan yang anda beli berdaftar dengan KKM. Pantau individu di sekeliling anda daripada membeli produk yang meragukan dan bantu mereka menyemak status produk secara dalam talian.

Kesimpulan

Steroid yang tersembunyi dalam kandungan ubat bukanlah sekadar isu undang-undang, sebaliknya melibatkan isu kesihatan awam. Keadaan ini boleh menjejaskan kesihatan anda dalam jangka panjang. Kesihatan bukan untuk diuji cuba, namun untuk kembali bertenaga. Oleh itu, jadilah pengguna yang bijak memilih bukan hanya untuk menyelamatkan diri, tetapi untuk melindungi keluarga, rakan dan masyarakat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi