Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Menara Kuala Lumpur (MKL) melancarkan Program Kasih Ramadan Kuala Lumpur Tower X Adabi sebagai inisiatif yang menyatukan semangat kebersamaan, tradisi dan tanggungjawab sosial bersempena dengan bulan Ramadan yang berlangsung di Anjung MKL, hari ini.
Program ini merupakan kerjasama dengan syarikat Adabi Sendirian Berhad (Sdn.Bhd) yang bertujuan menghimpunkan sukarelawan, rakan strategik, serta komuniti setempat dalam aktiviti gotong-royong menyediakan bubur lambuk, iaitu simbol tradisi Ramadan yang mencerminkan nilai keprihatinan dan perpaduan masyarakat Malaysia.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) MKL dalam memperkukuh hubungan komuniti, di samping memelihara warisan budaya tempatan.
Menerusi pelibatan secara kolektif, program tersebut secara tidak langsung berjaya mempamerkan keunikan tradisi masyarakat Malaysia kepada para pelawat dari dalam dan luar negara.
Sebagai ikon pelancongan negara, MKL terus berperanan sebagai platform memperkenalkan pengalaman budaya autentik, selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk memperkukuh daya tarikan negara sebagai destinasi pelancongan berteraskan budaya dan pengalaman bermakna.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MKL, Encik Khairil Faizal Hj. Othman berkata, inisiatif tersebut mencerminkan peranan MKL yang lebih besar dan mendekati dengan lapisan masyarakat.
“Ramadan ialah waktu terbaik untuk berkongsi rezeki dan mengeratkan hubungan sesama insan. Melalui kolaborasi bersama Adabi, kami bukan sahaja meneruskan tradisi yang mendekatkan jiwa di hati rakyat Malaysia, malah berpeluang berkongsi nilai kebersamaan ini dengan pengunjung dari seluruh dunia,” jelas beliau.
Tambah beliau, MKL amat komited untuk terus menjadi medium yang menyatukan budaya, komuniti, dan membawakan pengalaman pelancongan yang bermakna.
“Program pada hari ini membuktikan bahawa mercu tanda ikonik seperti MKL bukan sekadar beroperasi sebagai destinasi pelancongan semata-mata, tetapi juga berfungsi sebagai ruang dinamik yang menghubungkan masyarakat melalui nilai kemanusiaan dan warisan budaya,” tambahnya lagi.


Turut hadir dalam program tersebut ialah Pegawai Pembangunan Perniagaan, Puan Aemizureen Kamarudin; Ketua Pegawai Kewangan dan Strategi Kumpulan Adabi Sdn. Bhd, Tuan Syed Izmal Syed Manshor; dan Penolong Pengurus Jenama,Promosi dan Media Korporat Adabi, Encik Mohd. Kamarul Ariffin Ismail.