Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan semua institusi pendidikan di bawah seliaannya untuk meningkatkan persediaan dan melaksanakan langkah proaktif bagi menghadapi fenomena cuaca panas menjelang pembukaan semula sekolah selepas Cuti Penggal 1.
Langkah ini diambil bagi memastikan aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga institusi pendidikan sentiasa terpelihara dalam mendepani situasi cuaca semasa.
KPM telah menetapkan beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi oleh pihak sekolah, antaranya termasuklah menangguhkan penganjuran aktiviti luar sekiranya suhu melebihi 35 darjah Celsius, memantau sebarang aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada cuaca panas bagi mengelakkan gangguan kesihatan, serta pertimbangan khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana untuk memakai pakaian sukan yang sopan berdasarkan keperluan dan situasi semasa di institusi masing-masing.
Bagi mengawal suhu badan dan mengelakkan dehidrasi, institusi pendidikan diminta untuk memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi serta menggalakkan murid membawa air minuman sendiri, pihak sekolah diminta menasihati murid untuk mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai dan membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya berlaku keadaan kritikal atau ketiadaan sumber air lain.
Pihak sekolah turut diingatkan agar sentiasa berwaspada dan menjalinkan kerjasama erat dengan klinik serta hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi kesihatan akibat cuaca panas ke atas murid.
KPM menegaskan agar semua institusi kekal peka dengan situasi cuaca di kawasan masing-masing dan sentiasa mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.