Diterbitkan pada 27 April 2026, 12:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Program Inspirasi Alumni anjuran Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) yang diadakan secara dalam talian pada 25 April lalu, berjaya memberikan suntikan motivasi kepada para pelajar dalam merancang laluan akademik dan kerjaya mereka.

Program bertajuk “Tidak Mudah, Tetapi Saya Boleh Berjaya: Sebuah Perjalanan Inspirasi Alumni PPPJJ” itu mengetengahkan perkongsian pengalaman berharga daripada alumni yang berjaya membuktikan keupayaan mengimbangi tuntutan kerjaya, tanggungjawab keluarga, dan komitmen akademik sebagai pelajar separuh masa.

Antara penceramah jemputan yang memeriahkan sesi tersebut ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Arau, Perlis, DSP Mohd Fauzi Mohamad. Beliau yang juga alumni PPPJJ Konvokesyen 2022 berkongsi perjalanan akademiknya sehingga berjaya menamatkan pengajian Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Sains Politik) dengan Kepujian.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Arau, Perlis, DSP Mohd Fauzi Mohamad, kejayaan dalam sistem pengajian jarak jauh menuntut tahap disiplin yang tinggi, pengurusan masa yang cekap, serta kekuatan mental untuk kekal konsisten dalam berhadapan dengan pelbagai cabaran.

“Tidak mudah untuk belajar sambil bekerja, tetapi dengan perancangan yang jelas dan sokongan yang betul, kejayaan itu bukan sesuatu yang mustahil,” katanya dalam sesi perkongsian secara dalam talian.

Sesi inspirasi itu turut menampilkan Pembantu Pembedahan Pergigian di Jabatan Bedah Mulut dan Maksilofasial, Hospital Raja Perempuan Zainab II (Kota Bharu), Pn. Norhayati Bekri yang juga alumni PPPJJ Konvokesyen 2025, menyifatkan pengajian secara PJJ membuka peluang yang luas dalam pembangunan kerjaya serta meningkatkan keyakinan diri dalam persekitaran kerja yang profesional.

Pn. Norhayati Bekri turut menekankan kepentingan ketabahan, pengorbanan, serta sokongan padu daripada keluarga dalam memastikan kelangsungan pembelajaran sehingga ke garisan penamat, khususnya bagi individu yang terikat dengan komitmen kerja sepenuh masa.

Program interaktif selama satu jam itu telah dikemudi oleh Duta Pelajar PPPJJ, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Mohamed Haniff, yang juga merupakan pelajar tahun tiga Sarjana Muda Sastera (Sejarah).

Dalam perkongsian tersebut, beliau berjaya menghidupkan sesi dialog dua hala bersama-sama para peserta bagi merangka program berimpak tinggi yang menghubungkan alumni dengan pelajar, sekali gus memperkukuh budaya perkongsian ilmu dan pengalaman.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi