Diterbitkan pada 30 April 2026, 18:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – CIMB secara rasminya mengumumkan penganjuran Kejohanan Terbuka Padel CIMB, sebuah kejohanan persahabatan di bawah Siri ASCARO yang julung kali diadakan bagi menyatukan komuniti sukan padel di Malaysia.

Acara pengumuman tersebut dihadiri oleh Ketua Pegawai Jenama dan Pemasaran Kumpulan CIMB, Encik Toni Darusman, bersama-sama atlet padel profesional, Encik Aidan Yunus, serta rakan-rakan padel rasmi CIMB di Kelab Padel dan Sosial ASCARO.

Kejohanan ini dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula pada 26 Jun 2026 hingga 28 Jun 2026 bertempat di gelanggang ASCARO di TREC (Kuala Lumpur) dan Pusat Beli-belah 1 Utama (Petaling Jaya).

Encik Toni Darusman menjelaskan bahawa penganjuran ini merupakan inisiatif CIMB untuk menyokong ekosistem sukan tersebut pada peringkat tempatan.

“Selain menganjurkan kejohanan kami sendiri, kami berbangga untuk menyokong pemain seperti Encik Aidan, dan memainkan peranan kami dalam membina komuniti padel yang lebih kukuh dan lebih terhubung di Malaysia,” kata beliau.

Tambah beliau, inisiatif ini selaras dengan semangat “Kita Bagi Jadi” CIMB dalam usaha memajukan sukan dan komuniti secara keseluruhan.

Sebagai galakan kepada komuniti sukan, Kejohanan Terbuka Padel CIMB ini mengalu-alukan penyertaan daripada semua peringkat kemahiran, pemain amatur mahupun pesaing yang berpengalaman.

Istimewa buat pemegang kad CIMB berpeluang menikmati diskaun eksklusif sebanyak 10 peratus bagi yuran penyertaan kejohanan. Tawaran ini sah bermula 30 April sehingga 30 Mei 2026 (tertakluk kepada terma dan syarat).Sebarang makluman lanjut, sila layari laman web rasmi di https://ascarosea.com/.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi