Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pada hari ini menegaskan bahawa kemajuan ekonomi negara yang pesat mestilah seiring dengan pembelaan nasib golongan pekerja. Dalam ucapan amanat beliau bersempena dengan sambutan Hari Pekerja 2026, beliau menyeru syarikat besar dan konglomerat untuk lebih prihatin terhadap penyelarasan gaji pekerja demi menjamin keadilan sosial.
YAB Dato’ Seri Anwar menyatakan bahawa rasa syukur atas pencapaian ekonomi negara antaranya termasuklah kadar pengangguran yang rendah sebanyak 2.9%, pengukuhan nilai ringgit dan rekod pelaburan tertinggi.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kejayaan ini tidak bermakna jika nasib pekerja bawahan tidak terbela.
Beliau menggesa syarikat swasta yang mencatatkan keuntungan berbilion ringgit agar tidak keberatan untuk menaikkan gaji pekerja, meskipun hanya dalam jumlah yang kecil.
Bagi memperkasakan jaminan sosial dan pasaran buruh, kerajaan memperkenalkan program PACE (Progressive Acceleration for Competitiveness and Employment) dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM710 juta. Antara inisiatif utama di bawah program ini adalah:
Dalam usaha meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh, kerajaan memperkenalkan Elaun Pasca Cuti Bersalin. Ibu yang bekerja akan menerima cuti tambahan sehingga 30 hari selepas tamat tempoh cuti bersalin 98 hari dan bantuan kewangan sebanyak 80% daripada gaji secara sekali beri. Inisiatif ini dijangka memberikan manfaat kepada lebih 132,000 pekerja wanita.
Selain itu, perlindungan PERKESO kini diperluaskan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, bermula dengan pekerja rentas sempadan Malaysia-Singapura. Inisiatif ini bakal memberikan perlindungan kepada kira-kira 480,000 rakyat Malaysia yang mencari rezeki di negara jiran.
Perdana Menteri turut mengingatkan agensi terlibat seperti PERKESO, HRD Corp dan TalentCorp agar mengemukakan laporan pelaksanaan inisiatif ini dalam tempoh dua minggu.
Beliau mahu tindakan diambil segera agar manfaat tersebut dapat dirasai oleh rakyat tanpa penangguhan yang lama.
“Negara ini adalah negara hebat yang dibina oleh semua kaum dan agama. Marilah kita bekerja dengan semangat untuk menyelamatkan dan memartabatkan Malaysia,” ujar beliau semasa mengakhiri ucapan.