Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru para pelajar agar melengkapkan diri dengan kemahiran praktikal serta kepakaran yang relevan bagi memenuhi keperluan industri dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.
Baginda turut menekankan kepentingan memanfaatkan teknologi secara bijaksana dengan menjadikan kemajuan digital sebagai medium pembelajaran, inovasi dan pembinaan masa hadapan, bukannya sekadar untuk hiburan semata-mata.
Titah baginda, kerjasama antara institusi pendidikan, industri dan komuniti juga perlu terus diperkukuh bagi mendedahkan pelajar kepada situasi sebenar dunia pekerjaan.
“Pendedahan kepada dunia pekerjaan sebenar amat penting dalam membentuk pelajar yang lebih bersedia, berdaya saing dan berwawasan,” titah baginda.
Demikian titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra, ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega Peringkat Kolej Vokasional (KV) Kangar, di sini baru-baru ini.
Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah KV Kangar, Encik Zazlan Darus.
Sementara itu, Encik Zazlan Darus dalam ucapannya memaklumkan bahawa para pelajar institusi berkenaan telah melakar pelbagai pencapaian cemerlang pada peringkat zon, kebangsaan dan antarabangsa.
Antara kejayaan antarabangsa yang membanggakan termasuklah:
Program Teknologi Maklumat: Meraih pingat emas menerusi projek Subnetsmart pada peringkat antarabangsa.
Program Seni Kulinari: Memenangi pingat perak menerusi projek Herby Brew di Bangkok.
Program Teknologi Pembinaan dan Elektrik: Meraih pingat emas dalam pertandingan Inovasi Island TVET, serta satu emas dan dua perak pada peringkat kebangsaan bagi Program Teknologi Elektrik.
Program Penyejukan dan Penyamanan Udara: Meraih pingat gangsa dalam Langkawi International Regatta Perdana.
Pertandingan KV Skills: Tujuh pasukan kolej berjaya merangkul tempat pertama pada peringkat Zon Perlis dan Kedah, sekali gus mara ke peringkat kebangsaan.
Encik Zazlan turut menjelaskan, menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) KV Insani: Masyarakat MADANI, para pelajar aktif menyumbang kepada komuniti melalui kerja baik pulih, penyelenggaraan dan perkongsian ilmu.
“Kejayaan sebenar pendidikan bukan sekadar diukur melalui pencapaian akademik, sebaliknya terletak pada nilai kemanusiaan. Institusi vokasional berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan pendidikan dengan komuniti untuk melahirkan generasi berjiwa besar,” katanya.

Dalam majlis yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan perasmian Bengkel Seni Reka Fesyen baharu yang bakal digunakan sebagai fasiliti pengajaran merangkumi aspek reka bentuk, ilustrasi, lakaran pola dan penghasilan pakaian.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembangunan Murid) Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Haji Che Rasaidi Che Yob; Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd. Darus dan Ketua Penyelaras Program, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.
Program anjuran YTSP Perlis ini telah melibatkan sebanyak 302 orang pelajar yang terdiri daripada kira-kira 156 lelaki dan 146 perempuan.