Diterbitkan pada 21 Mei 2026, 16:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya — Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan inisiatif baharu yang membenarkan pembaharuan lesen perniagaan sehingga tempoh maksimum tiga tahun bermula 1 Julai ini, berbanding dengan setahun sebelum ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud berkata bahawa langkah tersebut bertujuan untuk memperkukuh ekosistem perniagaan yang lebih mesra pelanggan, efisien dan progresif, selain membantu komuniti perniagaan menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Pendekatan baharu ini juga selaras dengan usaha DBKL dalam mempertingkatkan sistem penyampaian dan perkhidmatan yang lebih cekap, fleksibel serta responsif terhadap keperluan warga kota dan komuniti peniaga,” katanya dalam sidang media di Jabatan Wilayah Persekutuan hari ini.

Menurut beliau, kelayakan tempoh sah laku lesen yang dipanjangkan kepada dua atau tiga tahun ini tertakluk kepada permohonan berstatus “lulus tetap” dan memenuhi syarat ketat, antaranya termasuklah tiada rekod kompaun atau tunggakan bayaran sewa dengan DBKL.

Inisiatif ini bakal memberikan manfaat kepada lebih 95,000 pemegang lesen di ibu kota, merangkumi sebanyak 11 kategori sektor perniagaan kecuali dua sektor berikut:

  • Sektor yang layak: Premis pejabat, bengkel, kejuruteraan, penternakan/pertanian, gudang/stor penyimpanan, hotel, pembuatan/pengilangan, perindustrian, makanan dan minuman, serta pelbagai sektor perdagangan lain.
  • Sektor yang dikecualikan: kecantikan dan hiburan.

Bagi menggalakkan pembaharuan pelbagai tahun, DBKL turut memperkenalkan insentif potongan kadar fi lesen, sebanyak 5% untuk pembaharuan tempoh dua tahun dan sebanyak 10% untuk pembaharuan tempoh tiga tahun.

Urusan pembaharuan kini dipermudahkan melalui sistem E-lesen yang telah ditambah baik, dan proses permohonan dan pembayaran dalam talian hanya mengambil masa kira-kira tiga minit.

Pemilik premis boleh mencetak sendiri lesen yang dilengkapi kod bar (bagi memudahkan semakan penguat kuasa DBKL) tanpa perlu hadir ke pejabat.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Hannah Yeoh, yang turut hadir menyifatkan inisiatif ini sebagai langkah drastik mengurangkan birokrasi dan kos operasi tersembunyi bagi peniaga di Kuala Lumpur.

Beliau menjelaskan, tempoh lesen yang lebih panjang amat membantu peniaga dari segi struktur kewangan dan operasi:

  • Kemudahan pinjaman bank: Bank atau institusi kewangan sukar menilai keupayaan perniagaan jika lesen hanya sah setahun. Lesen tiga tahun akan memudahkan urusan penstrukturan hutang dan memberikan terma pinjaman yang lebih baik.
  • Urusan akaun dan sewaan: Memudahkan pembukaan akaun perniagaan di bank tertentu yang memerlukan lesen melebihi setahun, serta menyelaraskan urusan sewaan premis di pusat beli-belah yang lazimnya diperbaharui setiap tiga tahun.
  • Kurangkan tekanan tahunan: Mengelakkan kesesakan dan kebergantungan kepada “runner” yang sering berlaku setiap kali menjelang bulan Disember.

YB Hannah Yeoh turut menegaskan bahawa peniaga masih mempunyai pilihan untuk memperbaharui lesen secara tahunan sekiranya belum berkemampuan.

Kita mahu menjadikan Kuala Lumpur benar-benar mesra perniagaan untuk semua pihak. Kita mahu mengurangkan birokrasi dan proses yang tidak perlu,” ujarnya semasa mengakhiri sidang media.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi