Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan — Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kebimbangan baginda terhadap pelaksanaan aktiviti latihan ketenteraan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan kepulauan dalam negeri Pahang.
Aktiviti ini dikhuatiri baginda boleh menjejaskan alam sekitar serta habitat semula jadi di negeri itu.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan dari Istana Abdulaziz semalam, baginda bertitah bahawa aktiviti ketenteraan perlu dilaksanakan secara terkawal dan bertanggungjawab agar tidak menggugat keseimbangan ekosistem.
“Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti ketenteraan tersebut mungkin boleh menggugat ekosistem alam sekitar, flora dan fauna di kawasan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Baginda bagaimanapun tidak menolak kepentingan latihan ketenteraan dalam meningkatkan kemahiran dan pengalaman anggota tentera, namun menegaskan bahawa pelaksanaannya perlu mengambil kira aspek keselamatan dan keharmonian alam sekitar.
“Baginda tidak menolak aktiviti ketenteraan bagi meningkatkan kemahiran dan pengalaman para pegawai dan anggota tentera, namun aktiviti ketenteraan tersebut mestilah dilaksanakan dalam keadaan yang terkawal serta bertanggungjawab, selamat dan harmoni dengan alam sekitar dan semua pihak,” menurut kenyataan tersebut lagi.
Sehubungan dengan itu, Tengku Mahkota Pahang menitahkan supaya pihak ATM serta jabatan dan agensi berkaitan mendapatkan perkenan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum melaksanakan sebarang latihan dan eksesais ketenteraan di Negeri Pahang.
Baginda turut menegaskan bahawa semua pihak perlu mematuhi titah tersebut dan kerajaan negeri boleh mengambil tindakan sekiranya berlaku sebarang pelanggaran prosedur yang telah ditetapkan.