Diterbitkan pada 28 Mei 2026, 17:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Aidiladha bukan sekadar sebuah perayaan, tetapi lambang ketaatan, pengorbanan dan kasih sesama insan. Di sebalik takbir yang bergema dan suasana yang penuh kesyukuran, tersirat nilai keikhlasan serta pengertian bahawa kebersamaan dan silaturahim merupakan nikmat yang amat besar nilainya.

Menerusi jendela kehidupan, nikmat kesihatan dan kesempatan untuk bersama-sama dengan insan yang dikasihi merupakan anugerah yang tidak ternilai.

Maka itu, sempena Aidiladha ini, marilah kita memperkukuhkan rasa syukur, mempererat tali persaudaraan serta menyemai nilai ihsan dan saling menghargai antara satu sama lain.

Demikian titah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid bersempena dengan Majlis Santapan Tengah Hari bagi Hari Raya Aidiladha yang turut dihadiri oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Tuanku Raja Perempuan Perlis di Istana Arau semalam.

Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Pada kesempatan yang sama, Tuanku Raja dan Tuanku Raja Perempuan Perlis menitahkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh rakyat Perlis serta kaum kerabat dan rakan taulan.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Tuan Haji Mohd. Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed turut serta memeriahkan Majlis Santapan Tengah Hari bagi Hari Raya Aidiladha di Istana Arau.

“Semoga sambutan yang penuh keberkatan ini membawa ketenangan jiwa, memperkukuh perpaduan serta menyuburkan taulan tidak kira di mana sahaja kita berada diiringi dengan doa serta harapan agar semangat pengorbanan dan kasih sayang dalam kalangan kita terus berkekalan,” titah baginda lagi.

Sejurus selesai majlis, Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda meluangkan masa berangkat untuk berfoto kenangan bersama-sama dengan warga kerja Pejabat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Raja Perlis.

Kredit Foto: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi