Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian baucar buku RM100 kepada semua pelajar sekolah menengah bawah kelolaan Kementerian Pendidikan (KPM) dan penuntut institusi pendidikan tinggi (IPT) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pentas Utama, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Pengumuman itu dibuat ketika beliau menyempurnakan Majlis Perasmian PBAKL 2026 yang turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek; Menteri Pendidikan Tinggi, YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; tokoh sastera negara; penggiat industri buku serta delegasi dari Arab Saudi yang menjadi tetamu kehormat bagi penganjuran pada tahun ini.
Menurut Perdana Menteri, walaupun negara berdepan dengan cabaran ekonomi global dan ketidaktentuan geopolitik, sektor pendidikan serta budaya ilmu tidak boleh dikompromi.
“Saya memberitahu Kementerian Kewangan bahawa walaupun sukar dan perit, soal buku dan pendidikan harus tetap diberikan keutamaan. Oleh itu, semua pelajar sekolah menengah bawah Kementerian Pendidikan dan mahasiswa bawah Kementerian Pendidikan Tinggi di seluruh negara akan tetap menerima RM100 seorang,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif tersebut merupakan usaha berterusan Kerajaan MADANI bagi menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan generasi muda serta memastikan masyarakat terus mendekati ilmu pengetahuan.
YAB Dato’ Seri Anwar turut menegaskan bahawa PBAKL merupakan medan penting untuk mengangkat tamadun ilmu menerusi pembacaan dan penghayatan karya bermutu.
“Malaysia ini tidak kurang dengan acara pesta-pestaan tetapi bezanya, pesta buku ini menekankan kepentingan menimba ilmu,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau mengingatkan bahawa lambakan maklumat dalam media sosial tidak semestinya melahirkan masyarakat berilmu, malah ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan dalam membimbing anak-anak memilih bahan bacaan yang berkualiti serta bermanfaat.
Perdana Menteri turut menekankan kepentingan keseimbangan antara kemajuan teknologi dengan pembangunan nilai kemanusiaan, khususnya ketika negara sedang memperkukuh sektor digital, kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.
Menurut beliau, Malaysia tidak mahu melahirkan generasi yang hanya cemerlang dalam bidang teknikal, tetapi gagal menghayati nilai, budaya dan etika kemanusiaan.
“AI, digital, teknologi baharu dan semikonduktor penting untuk pembangunan negara, tetapi kita tidak boleh kehilangan nilai, etika dan prinsip kemanusiaan,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat memanfaatkan kehadiran tokoh sastera dan ilmuwan di PBAKL 2026 dengan membaca karya-karya berkualiti yang mampu membentuk pemikiran dan peradaban bangsa.
Sementara itu, KPM dalam kenyataan susulan menyambut baik pengumuman Perdana Menteri dan memaklumkan bahawa kementerian akan segera memperincikan pelaksanaan pemberian baucar buku tersebut dalam masa terdekat.
Menurut KPM, inisiatif itu dijangka memberikan manfaat kepada lebih dua juta pelajar bawah kementerian tersebut dan selaras dengan usaha menjadikan budaya membaca sebagai amalan utama dalam kalangan pelajar.
“KPM akan segera memperincikan inisiatif pemberian baucar buku seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dan melaksanakannya dalam tempoh masa terdekat,” menurut kenyataan itu.
PBAKL 2026 menghimpunkan pelbagai penerbit, penulis, ilmuwan dan penggiat industri buku dari dalam, serta luar negara, sekali gus menjadi platform utama memperkasakan budaya membaca dan perkembangan industri perbukuan negara.