Diterbitkan pada 29 Mei 2026, 20:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Industri perbukuan negara kini berada pada tahap paling memberangsangkan dalam sejarah Malaysia hasil pelbagai inisiatif pendigitalan, peluasan akses dan pengiktirafan antarabangsa yang semakin kukuh.

Penasihat Jawatankuasa Pengelola Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, YBrs. Tuan Haji Mohd Khair Ngadiron berkata, akses rakyat terhadap buku kini berada pada tahap tertinggi apabila kanak-kanak di pedalaman Sabah dan Sarawak mampu mendapatkan judul buku yang sama seperti pembaca di bandar besar.

Menurut beliau, perkembangan tersebut didorong oleh transformasi digital industri pembukuan negara yang berjaya membuka pasaran lebih luas dan demokratik kepada semua pemain industri.

“Industri pembukuan negara telah direkayasa melalui pendigitalan infrastruktur keilmuan. Buat pertama kali di dunia terdapat sistem tempahan automasi Real-Wide dan platform Book Capital yang memberikan akses kepada pasaran buku yang lebih terbuka, adil dan demokratik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan bersempena dengan PBAKL 2026 di Pentas Utama, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Mohd Khair berkata, penganjuran PBAKL secara hibrid bagi tahun keenam berturut-turut juga membolehkan rakyat di seluruh negara menikmati tawaran sama seperti pengunjung fizikal melalui pembelian secara dalam talian bermula pada 25 Mei lalu.

Sementara itu, beliau turut menzahirkan kebanggaan terhadap pencapaian pemain industri buku tempatan pada peringkat antarabangsa.

Katanya, penulis dan ilustrator, Puan Emila Yusuf menerima pelbagai pengiktirafan dari negara seperti Itali dan Jerman, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, YBrs. Puan Adibah Omar, berjaya meraih kedudukan ketiga terbaik dunia dalam inovasi perbukuan.

Menurut beliau lagi, kepimpinan Malaysia dalam industri perbukuan global juga semakin menyerlah apabila YBrs. Encik Sheikh Faisal Sheikh Mansor kini memegang jawatan Presiden Asian Book Publishers Association selama dua penggal selain menjadi individu pertama dari Asia Tenggara yang dilantik dalam jawatankuasa International Publishers Association (IPA).

“Lebih membanggakan, beliau berjaya membawa IPA Congress, yang dianggap seperti Olimpik dunia perbukuan, ke Malaysia pada Julai nanti,” katanya.

YBrs. Tuan Haji Mohd Khair turut menyifatkan sistem baucar buku Malaysia sebagai antara model terbaik dunia kerana bersifat telus dan tanpa ketirisan.

“Sistem baucar Malaysia kini menjadi antara model terbaik dan rujukan dunia. Seratus peratus telus, seratus peratus bersasar dan sifar ketirisan,” katanya sambil menghargai sokongan Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan terhadap inisiatif Baucar MADANI.

Beliau berkata, kejayaan industri perbukuan negara pada ketika ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan berterusan kerajaan khususnya Perdana Menteri yang hadir ke PBAKL selama lima tahun berturut-turut, termasuk ketika menjadi Ketua Pembangkang sebelum ini.

Pada akhir ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada delegasi antarabangsa, pemain industri dan semua pihak yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan PBAKL 2026.

Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi