Diterbitkan pada 29 Mei 2026, 20:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek menyifatkan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang pemimpin yang menjadi teladan budaya membaca dan pejuang akses buku kepada rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pentas Utama, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Menurut YB Fadhlina, kehadiran YAB Dato’ Seri Anwar ke pesta buku tersebut saban tahun mencerminkan komitmen tinggi kerajaan dalam memperkukuh budaya ilmu dan amalan membaca dalam kalangan masyarakat.

“YAB Dato’ Seri Anwar sentiasa hadir sebagai pemimpin suri teladan. Pada saat kita dahagakan kehadiran idola dan kemarau teladan, beliau telah menunjukkan satu contoh yang sangat besar kepada anak bangsa bahawa membaca itu merupakan sesuatu yang pastinya menjadi satu teladan yang sangat penting untuk pemimpin negara,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas usaha memperluas akses buku termasuklah menerusi inisiatif Baucar Buku MADANI yang terus menjadi tumpuan kerajaan.

Katanya, penganjuran PBAKL telah dirancang secara khusus pada musim cuti sekolah bagi membolehkan lebih banyak ibu bapa, guru dan kanak-kanak hadir memeriahkan sambutan buku dan budaya membaca.

“Terkait dengan pesta buku ini, memang penganjurannya disengajakan untuk dilaksanakan pada tempoh cuti sekolah yang panjang bagi memastikan ibu bapa, anak-anak dan para guru boleh datang untuk meraikan hari buku,” katanya.

YB Fadhlina berkata, PBAKL 2026 turut menampilkan beberapa pengisian baharu termasuklah Galeri Bacaan Pemimpin Negara yang memaparkan bahan bacaan tokoh negara selain Festival Sastera Kanak-kanak yang memberikan fokus pada penghasilan dan pengembangan bahan bacaan untuk golongan muda.

Beliau berkata, usaha itu sejajar dengan komitmen Kementerian Pendidikan untuk memperkukuh budaya membaca sejak peringkat usia dini.

Pada masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pemain industri buku termasuklah penerbit, penulis, ilustrator, pencetak dan penjual buku atas komitmen mereka menjayakan pesta buku berkenaan.

Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi