Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPadang Besar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menziarahi dua keluarga mangsa kebakaran dalam kejadian berasingan di sekitar daerah ini, baru-baru ini.
Keberangkatan baginda diiringi pegawai daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis.
Mangsa pertama yang dikunjungi ialah Md Khari Kamis di Kampung Kok Mak yang dilaporkan terjejas ketika beliau sedang tidur di rumahnya akibat keletihan selepas pulang daripada menguruskan kerja ibadah korban.
Sementara itu, mangsa kedua ialah Rusemiliawarni Ramli di Felcra Lubuk Sireh yang dikesan ketika seluruh ahli keluarga mangsa tiada di rumah kerana menghadiri satu majlis perkahwinan.
Dalam lawatan berkenaan, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs berkenan menyampaikan sumbangan kewangan awal daripada pihak MAIPs bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh kedua-dua keluarga tersebut.

Sumbangan berkenaan diharapkan dapat memenuhi keperluan segera mangsa, selain menjadi simbol sokongan berterusan MAIPs dalam memastikan kebajikan dan kemaslahatan rakyat Perlis sentiasa diberiksn perhatian utama, khususnya ketika mendepani ujian yang sukar.
Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar kedua-dua mangsa dan keluarga diberikan ketabahan serta dipermudahkan segala urusan untuk membina semula kehidupan selepas dilanda musibah.