Diterbitkan pada 6 Julai 2026, 17:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Tabung Haji (TH) menyeru semua bakal jemaah bagi musim haji 1448H/2027M dan 1449H/2028M agar melipatgandakan persediaan awal dari aspek kesihatan, kewangan, penguasaan ilmu, serta kemas kini maklumat peribadi.

Langkah proaktif tersebut amat penting bagi membantu bakal jemaah memenuhi syarat kemampuan (istito’ah), yang merupakan kriteria utama sebelum melayakkan bakal jemaah menerima surat tawaran haji.

Dari sudut kesihatan fizikal dan mental, bakal jemaah digesa menjalani pemeriksaan kendiri lebih awal.

“Persekitaran tanah suci yang sesak, berdebu dan panas menuntut ketahanan fizikal yang tinggi, apabila jemaah dijangka perlu berjalan sekitar 10,000 langkah atau tujuh kilometer sehari, terutamanya bagi melunaskan ibadat melontar jamrah di Mina,” jelas Tabung Haji dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan.

Bakal jemaah haji juga dikehendaki meningkatkan simpanan secara konsisten. Menurut kenyataan rasmi tersebut, penanda aras minimum kelayakan untuk menerima surat tawaran haji ditetapkan pada jumlah RM15,000.

Walaupun kos haji bagi musim 1448H/2027M masih belum dimuktamadkan, bakal jemaah boleh menjadikan kos musim 1447H/2026M yang berjumlah RM33,300 seorang sebagai rujukan awal.

Bagi memudahkan perancangan, pendeposit boleh memanfaatkan fasiliti potongan gaji atau debit terus menerusi platform THiJARI.

Dalam perkembangan berkaitan, TH turut memaklumkan bahawa Kursus Asas Haji dijadualkan bermula pada 25 September 2026. Bakal jemaah juga dinasihatkan supaya memastikan pasport antarabangsa mereka berstatus aktif dengan tempoh sah laku yang mencukupi.

Selain itu, rekod peribadi jemaah perlu sentiasa dikemas kini di THiJARI mahupun di cawangan TH bagi mengelakkan sebarang kesukaran komunikasi.

Segala makluman peringatan awal berkaitan tahun giliran akan disalurkan melalui notifikasi THiJARI, sistem pesanan ringkas (SMS) dan e-mel rasmi.

Walau bagaimanapun, pihak TH menegaskan bahawa notifikasi berkenaan sekadar peringatan awal, manakala surat tawaran rasmi pula akan dikeluarkan secara berasingan kelak kepada jemaah yang benar-benar layak mengikut prosedur yang ditetapkan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi