Diterbitkan pada 7 Julai 2026, 15:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) secara rasmi telah mengambil alih pengurusan Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing (OSC) bermula 6 Jun 2026 lalu bagi memperkukuh tadbir urus pengurusan pekerja asing agar menjadi lebih cekap, telus, dan berkesan.

Menurut Menteri KESUMA, YB Datuk Seri R. Ramanan, pengambilalihan tersebut selaras dengan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Julai 2026 lalu.

Susulan keputusan tersebut, KESUMA akan melaksanakan beberapa inisiatif strategik bagi memastikan proses permohonan kuota pekerja asing berjalan lancar tanpa menjejaskan keperluan tenaga kerja industri,” katanya menerusi sidang media hari ini.

Antara inisiatif utama yang diperkenalkan ialah penggunaan modul eQuota menerusi Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS) yang bertindak sebagai platform digital tunggal yang mengintegrasikan proses permohonan dengan sistem sedia ada kerajaan.

“Pelaksanaan sistem digital ini akan memudahkan urusan majikan melalui proses permohonan secara dalam talian, penjadualan temu duga yang lebih tersusun, serta mengurangkan kesesakan di kaunter OSC,” jelasnya.

Sebagai langkah awal, KESUMA juga akan mula memproses kira-kira 22,476 permohonan manual yang tertangguh sebelum ini melalui sistem FWCMS tersebut.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kelulusan permohonan pekerja asing tetap akan memberikan keutamaan kepada peluang pekerjaan rakyat tempatan melalui portal MYFutureJobs, selain majikan diwajibkan mematuhi keperluan Seksyen 60K Akta Kerja 1955 sebelum sebarang permohonan kuota dipertimbangkan.

Bagi memastikan kelancaran operasi, KESUMA akan mewujudkan Bahagian Pengurusan Pekerja Asing yang khusus untuk mengurus aspek dasar, operasi, dan naziran di OSC.

Sehubungan dengan itu, kementerian turut merancang untuk meneliti cadangan penubuhan Pusat Transit Pekerja Asing melalui sesi libat urus bersama-sama negara sumber, dengan mengambil kira amalan terbaik pada peringkat antarabangsa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi