17 Februari 2023, 23:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus mendukung dan memberikan tumpuan kepada tujuh teras utama dalam hasrat melahirkan murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera.

Dalam teras kelima yang memfokuskan kepada isu kebajikan termasuklah tekanan yang dihadapi oleh para guru, KPM bersetuju untuk melaksanakan langkah segera, hasil daripada laporan awal yang diterima. Langkah tersebut melibatkan pemansuhan sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat yang tidak memberikan impak besar terhadap pembelajaran murid berikutan hanya menambahkan lagi beban tugas guru. Sebagai contoh, pertandingan keceriaan pusat sumber, tandas tercantik, Bilik Operasi SPBT terbaik, dan yang seumpamanya tidak lagi perlu diadakan.

Menteri Pendidikan,YB Puan Fadhlina Sidek juga menjelaskan bahawa kekerapan semakan elemen pengurusan sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang melibatkan guru perlu dikurangkan kepada setahun sekali sahaja. Selain itu, KPM juga menetapkan waktu mengunci masuk rekod kehadiran murid yang lebih fleksibel kepada guru, iaitu pada pukul 12:00 tengah hari untuk sesi pagi, dan pukul 5:00 petang untuk sesi petang bagi mengelakkan kesesakan dalam sistem.

Pengumuman oleh Menteri Pendidikan juga menjelaskan bahawa pelantikan pengawas peperiksaan awam yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) terbuka kepada individu selain guru yang sedang berkhidmat seperti pesara kerajaan, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Pendidikan Tinggi (IPT),tetapi perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Pada masa yang sama, KPM turut mengehadkan penganjuran sambutan Hari Guru Tahunan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja serta menetapkan ringkasan Rancangan Pelajaran Harian (RPH) di peringkat KPM bagi memastikan aspek tersebut kembali memenuhi keperluan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bil.3/1999, yang merangkumi elemen objektif, pengajaran dan refleksi.

Beliau turut mengumumkan cadangan untuk memperkukuh autonomi guru dalam perancangan dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran bilik darjah (PBD) dengan menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) sebagai rujukan. Kesemua langkah ini dipercayai akan diperincikan oleh pengurusan tertinggi KPM dan akan dilaksanakan bermula sesi persekolahan 2023/2024.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.