Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangEra pendidikan global semakin berkembang pesat seiring dengan keperluan dan perkembangan tamadun dunia semasa. Secara kesinambungannya, era modenisasi ini sejajar dengan misi Malaysia MADANI yang memperlihatkan proses pendidikan di Malaysia terus berkembang secara fleksibel dan holistik di mana-mana sahaja dan pada setiap masa. Generasi Malaysia MADANI kini tidak mengenal status pendidikan dan latar belakang serta tidak lagi bergantung kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mendapatkan pengiktirafan pendidikan melalui Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) semata-mata, tetapi sudah mampu berdikari untuk belajar sepanjang hayat mengikut kemampuan dan minat masing-masing.
Pembelajaran sepanjang hayat (PSH) sebegini membolehkan sesiapa sahaja, termasuk orang dewasa dan warga emas menimba ilmu dan meluaskan pengalaman seumur hidup mereka. PSH juga diyakini berimpak besar terhadap generasi MADANI kerana dapat menambah baik kehidupan mereka melalui peningkatan kemahiran, pembangunan kerjaya dalam sesuatu bidang yang sedang diceburi, mahupun kerjaya baru pada masa akan datang.
Terkini, Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) melalui Teras ke-6, mensasarkan pembudayaan PSH individu melalui pemerolehan kemahiran baru, iaitu peningkatan kemahiran sedia ada dan pemerolehan faedah sosioekonomi. Oleh itu, kolaborasi pembudayaan PSH semakin digiatkan pelaksanaannya melalui pelbagai agensi bagi menjamin Malaysia MADANI menjadi seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, iaitu berupaya memartabatkan kegemilangan negara hingga ke persada dunia. Rentetannya, di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) turut aktif dilibatkan dalam misi pembudayaan PSH negara.
Sehingga kini, UMT telah berjaya meraih beribu peserta melalui kursus PSH seperti yang dilaporkan melalui Direktori Pembelajaran Sepanjang Hayat, KPT. Menariknya, data profil peserta sepanjang hayat di UMT menunjukkan peningkatan yang ketara bagi semua kumpulan (berumur 15 tahun ke atas, peserta profesional, dan bakal peserta sepanjang hayat) dari tahun ke tahun. Oleh itu, jelaslah bahawa UMT memiliki dedikasi terhadap PSH dengan menjana potensi diri insan secara berterusan agar aspek kompetensi kendiri, termasuklah pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari berupaya dimanfaatkan kembali untuk pemerkasaan komuniti setempat.
Konsep dan Bentuk Program Pembelajaran Sepanjang Hayat
UMT sentiasa memastikan aktiviti PSH yang dilaksanakannya adalah bertunjangkan kepada misi pendemokrasian pendidikan kebangsaan dan menepati rukun peradaban Malaysia MADANI dengan merangkumkan program pemerolehan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang relevan di tempat kerja. Proses pendidikan berkenaan juga dipastikan berlaku secara berterusan dengan mewujudkan peluang kepada generasi muda dan dewasa untuk menyambung pembelajaran selepas tamat sistem persekolahan sebenar. Para peserta yang berminat bukan sahaja boleh mendaftar secara sepenuh masa tetapi juga secara sambilan. Realitinya, UMT bersedia membantu keseluruhan proses melengkapkan personalitali, sosial, dan pembangunan profesional sepanjang hayat individu demi keutuhan masyarakat MADANI yang progresif berteraskan ilmu pengetahuan.
Keseluruhannya, perancangan dan pelaksanaan pembelajaran PSH UMT secara sistematik berjaya melahirkan program yang holistik untuk peserta pada pelbagai peringkat umur sama ada secara formal, bukan formal mahupun tidak formal, antaranya:
Program PSH jangka pendek yang dijalankan adalah berkonsepkan pembelajaran amali, kursus praktikal dan teori berdasarkan pengkhususan bidang. Contohnya, latihan akademik, praktikal, lawatan sambil belajar, seminar dan bengkel untuk lepasan sekolah dan lulusan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Kursus jangka pendek UMT juga boleh diwujudkan secara berkredit atau tanpa kredit bagi pensijilan profesional secara separuh masa, peningkatan latihan dan perkhidmatan sedia ada kepada pekerja organisasi atau industri secara aktif. Sebagai contoh, UMT menawarkan kursus Micro-credential atau kursus yang dipecah kecil bagi mengiktiraf pemerolehan pengetahuan, kemahiran serta kecekapan peserta dalam bidang ilmu tertentu. Terkini, Micro-credential tersebut melibatkan penawaran tujuh kursus dengan 29 modul berkredit secara mikro kepada 700 peserta Akademi Bomba Wakaf Tapai, Terengganu. Kebiasaannya, kurikulum, lokasi dan jadual bagi kursus program jangka pendek sebegini ditetapkan berdasarkan kepada keperluan, permintaan dan kesesuaian majikan.
Pelbagai kursus PSH yang diprogramkan sama ada di peringkat Diploma, Diploma Lanjutan, Sarjana Muda, dan Sarjana yang bersesuaian dengan program sedia ada di fakulti UMT boleh dipertimbangkan pelaksanaannya oleh pihak UMT. Tempoh Pembelajarannya adalah berdasarkan sistem semester yang diiktiraf oleh pihak Agensi Kelayakan Malaysia atau Malaysian Qualifications Agency (MQA). Di samping itu, kemasukan peserta kursus berkenaan juga dibenarkan sekiranya memiliki kelayakan STPM/Diploma/Matrikulasi Marikulasi. UMT turut menerima pelajar melalui saluran kemasukan secara Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) A di samping kemasukan secara konvensional melalui Unit Pusat Universiti (UPU).
Impak Pembelajaran Sepanjang Hayat UMT
Antara beberapa impak PSH UMT adalah:
Kesimpulannya, UMT menggerakkan variasi aktiviti pembelajaran sepanjang hayat selari dengan Wawasan Malaysia MADANI, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan Pelan Induk Pembudayaan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) kebangsaan. Justeru, pembangunan modal insan berminda kelas pertama telah dijadikan satu daripada teras utama ke arah mencapai matlamat yang dihasratkan. Pengembangan pendidikan PSH UMT sebagai budaya dan cara hidup sentiasa dimantapkan secara komprehensif bagi melahirkan modal insan yang berkualiti dan berminda kelas pertama melalui program pendidikan jarak jauh, dalam talian, pembelajaran di tempat kerja dan separuh masa. Aktiviti pembudayaan ini sangat penting dalam memberikan kesan secara langsung kepada output pembangunan modal insan negara selaras dengan keperluan ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi negara sehingga ke peringkat global.