31 Mei 2023, 20:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar –  “Pendidikan awal kanak-kanak ialah proses asuhan atau didikan sejak dari lahir sehingga seorang anak itu berusia lapan tahun. Pendidikan awal kanak-kanak merupakan tunjang utama bagi mempersiapkan kanak-kanak sebelum memasuki alam persekolahan.”

Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika menyampaikan titah ucapan.

Demikian titah Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyampaikan Majlis Penyerahan Biasiswa Smart Reader Kids – One Child One Hope kepada Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, Kangar pada hari ini.

Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang turut disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Smart Reader Worldwide, YBhg. Dato’ Sri Dr. Richard Ong dan Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, YBhg. Datuk Johari Darus.

Pendidikan awal membolehkan si cilik belajar, bergaul dan membina hubungan baik dengan rakan sebaya dan guru mereka. Konteks utama adalah berkisar kepada anak-anak terutamanya dalam meningkatkan interaksi sosial mereka.

Pusat pendidikan yang baik mampu mewujudkan suasana yang selesa dan harmoni di dalam bilik darjah. Perkara tersebut bukan sahaja akan membuahkan hasil anak-anak yang berkualiti, malahan minat mereka juga akan semakin bertambah untuk belajar.

Akses pendidikan awal ini membolehkan anak-anak ini mengikuti pelbagai aktiviti yang dijalankan secara bersemuka di sekolah. Dengan adanya usaha seperti ini, banyak ruang dan peluang akan diberikan kepada mereka untuk meneroka dunia pendidikan yang sebenar.

Demikian titah Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed FaizuddinBaginda dalam majlis tersebut. Titah baginda lagi,

Hasilnya, anak-anak ini menjadi lebih yakin untuk berdiri di atas kaki sendiri dan peka akan keadaan sekeliling. Pendekatan holistik yang dipupuk dalam kalangan pelajar akan menjadikan mereka seimbang dari sudut sahsiah, rohani dan akademik.

YBhg. Dato’ Sri Dr. Richard Ong dalam ucapannya berkata, “Penubuhan program biasiswa “Seorang Anak Sebesar Harapan” atau “One Child One Hope” merupakan satu inisiatif pihak Smart Reader Worldwide dalam melahirkan kanak-kanak yang akan menjadi pemimpin masa hadapan”.

Tambah beliau,

Sejak biasiswa ini dimulakan di negeri Perlis pada tahun 2008, Smart Reader Worldwide telah menyumbangkan hampir RM1 juta kepada 186 orang kanan-kanak bagi meneruskan pendidikan prasekolah yang berkualiti tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

“Saya berharap biasiswa ini dapat diteruskan dalam membantu kanak-kanak di negeri Perlis terutamanya golongan yang kurang berkemampuan dalam mendapatkan pendidikan yang berkualiti”, ulas beliau lagi.

Raja Puan Muda Perlis turut berkenan menyerahkan sumbangan beg galas sambil disaksikan oleh Pemangku Raja Perlis pada hari ini.

Pada majlis tersebut turut terdapat upacara penyerahan cek cura (mock cheque) bernilai RM140 ribu oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Richard Ong dan disaksikan oleh Tuanku Pemangku Raja Perlis, selaku Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.