Diterbitkan pada 12 Ogos 2023, 18:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Setar – Semua pusat pengundian di enam negeri yang terlibat dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15 (PRN-15) telah ditutup pada pukul 6.00 petang dan proses pengiraan undi sudah pun bermula.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan peratusan yang keluar mengundi di Kedah dalam PRN-15 adalah sebanyak 68 peratus. 

Sementara itu, negeri-negeri lain seperti Terengganu mencatatkan jumlah pengundi yang keluar mengundi sebanyak 70 peratus, Selangor 65 peratus, Pulau Pinang 67 peratus, Negeri Sembilan 65 peratus dan Kelantan mencatatkan peratusan paling rendah, iaitu sebanyak 56 peratus.

Pada Selasa yang lepas, semasa Undi Awal, Kedah turut mencatatkan peratusan yang tertinggi dengan merekodkan 96 peratus, diikuti oleh Selangor, Terengganu dan beberapa buah negeri yang terlibat dalam (PRN-15).

Bagi DUN N12 Suka Menanti, N13 Kota Darul Aman dan N14 Alor Mengkudu, pusat penjumlahan rasmi undi sedang dilakukan di Dewan Maktab Mahmud, Alor Setar.

Manakala Dewan Muhammad Abduh Sekolah Menengah Agama Sik bakal menjadi tumpuan orang ramai dan pemerhati politik apabila pengumuman rasmi undi bagi N23 Belantik dan N24 Jeneri yang menyaksikan Dato’ Seri Muhammad Sanusi Mad Nor, calon Menteri Besar Perikatan Nasional (PN) bertanding di situ.

Dato’ Seri Muhammad Sanusi Mad Nor calon Menteri Besar daripada Perikatan Nasional selesai membuang undi pada sebelah pagi tadi di SK Beris Jaya, Sik.

Negeri Kedah memiliki 36 kerusi yang bakal direbut oleh PN dan Gabungan Perpaduan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

Sebagai rekod, Kem PN memberikan peluang kepada 23 calon muka baharu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuklah mantan pemain bola sepak, ahli akademik dan golongan profesional yang merangkumi pelbagai peringkat umur.

PN menggugurkan tujuh penyandang antaranya termasuklah mantan Speaker dan Timbalan Speaker DUN Kedah, iaitu Datuk Juhari Bulat (N01 Ayer Hangat) dan Ahmad Fadzli Hashim (N27 Pantai Merdeka) serta Abd Nasir Idris (N30 Bayu).

Malah, empat mantan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Mohd. Firdaus Ahmad (N02 Kuah); Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (N21 Guar Chempedak); Dr. Robert Ling Kui Ee (N29 Sidam) dan Datuk Azman Nasrudin (N34 Lunas) turut tidak dicalonkan.

Manakala di pihak lawan, Gabungan PH-BN membariskan calon yang pernah berkhidmat pada peringkat kerajaan pusat dan negeri. Dato’ Seri Mahdzir Khalid disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar sekiranya gabungan PH-BN meraih kemenangan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi