Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTanjung Malim – Mana-mana negara yang mengangkat tamadun bangsa disifatkan sebagai mengangkat tamadun ilmu. Oleh itu, usaha untuk mengangkat taraf hidup dan budaya sudah tentunya harus berdasarkan ilmu terlebih dahulu.
Hal ini dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan Ucapan Perasmian Anugerah Buku Negara 2023 (ABN), di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim, Perak Darul Ridzuan.
Tambah YAB Perdana Menteri, generasi kini senang “terpukau” dengan media sosial, namun beliau berpendapat bahawa hal ini tiada salahnya kerana sudah menjadi tuntutan zaman. Walau bagaimanapun, perkara ini tetap ada kelemahannya kerana terdapat perkara yang didapati boleh merosakkan idea yang kompleks, bangsa, budaya dan idealisme budaya hanya dengan kupasan beberapa minit dalam media sosial. Hal tersebut berbahaya kerana berlaku tanpa dasar ilmu yang jelas. Ujar beliau,
Kalau kita mahu negara kita diangkat sebagai negara hebat, harus ada minat dalam pengisian ilmu yang mendalam, bukannya dengan cetusan idea dalam tempoh beberapa minit di laman media sosial.
Ilmu tidak boleh terpisah dalam kehidupan.
Oleh itu, tambah YAB Perdana Menteri, generasi muda harus bangkit menguasai ilmu dan mengelakkan diri daripada terjebak dengan pemikiran kolot dan jumud.
Ujar beliau, pemikir-pemikir bangsa seperti Raja Ali Haji dan pendeta Za’aba yang dianggap sebagai pemikir terulung dan pencabar pemikir jumud ada menulis serta mengupas beberapa isu kritikal yang berkaitan dengan kemiskinan masyarakat yang merangkumi kemiskin harta, bangsa dan nilai.
Bangkitlah anak muda, bangkit untuk menentang pemikiran kolot dan menyesatkan.
Ucap YAB Perdana Menteri sekali gus mencabar ribuan generasi muda yang hadir memeriahkan ABN 2023 supaya menentang pemikiran jumud yang dicetuskan oleh pihak tertentu.