Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJurufoto: Khairul Azhar Baharuddin

Putrajaya – Mana-mana murid yang terbabit akibat bencana banjir boleh hadir ke sekolah dengan menggunakan pakaian biasa.
Kata Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek ketika mengadakan Sidang Media Khas Berhubung Situasi Terkini Institusi Pendidikan KPM Terkesan Bencana Banjir di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada pagi ini.
Bagi anak-anak yang terjejas dengan banjir, pakaian mereka juga hayut atau hilang sehingga menyebabkan mereka tiada pakaian ke sekolah, KPM membenarkan mereka datang ke sekolah dengan berpakaian sesuai.
Hal ini merupakan satu sudut pendidikan manusiawi yang perlu diambil kira dalam konteks memastikan akses pendidikan tetap terjamin, walaupun terjejas dengan situasi banjir.
Menurut beliau, tindakan berkaitan dengan pengurusan bencana banjir telah diambil oleh Jawatankuasa Task Force Bencana Monsun Timur Laut (MTL) KPM. Antaranya termasuklah, mengaktifkan bilik gerakan, menyelaraskan aktiviti sukarelawan, bantuan psikologi dan bantuan Smart Support Team (SST), serta Academic Support Team (AST).
Bagi murid yang dilaporkan lemas di Kelantan, tuntutan takaful sebanyak RM5,500 seorang akan diberikan kepada keluarga mangsa.
Murid yang mengalami masalah trauma turut diberi bantuan dalam menstabilkan kembali emosi mereka berdasarkan Surat Siaran KPM Bilangan 8 Tahun 2016: Garis Panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana.
Ujar YB Fadhlina lagi, sekolah yang terkesan dengan banjir dan sekolah yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara akan diberikan bantuan sebanyak RM2,000 daripada Yayasan Guru Tun Hussein Onn.

YB Fadhlina turut memaklumkan bahawa sebanyak 161 buah institusi pendidikan yang terlibat banjir sepanjang tempoh MTL, iaitu 136 buah sekolah rendah, 24 sekolah menengah dan 1 buah pusat permata.
Sementara itu, mengulas berkaitan dengan peningkatan wabak COVID-19, KPM menegaskan agar semua institusi pendidikan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara, serta mengamalkan langkah pencegahan COVID-19 danjangkitan respiratori lain.
Walau bagaimanapun, beliau berkata,
KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik dan terus memantau situasi banjir sepanjang sesi persekolahan dijalankan demi ekosistem pendidikan yang lebih kondusif.