Diterbitkan pada 30 November 2025, 17:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar Rakyat Perlis dilihat mulai semakin berdisiplin dalam isu pembuangan sampah. Bahkan, persediaan Perlis menghadapi musim banjir semakin proaktif dan lebih memberi keutamaan terhadap kerjasama sejagat.

Demikian titah DYTM Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat meninjau beberapa buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bencana Banjir di Perlis baru-baru ini.

“Walaupun usaha ini wajar dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa, namun situasi pembuangan sampah secara teratur secara tidak langsung membantu mempercepatkan proses air surut di beberapa kawasan apabila sistem saliran dan longkang tidak tersumbat,” titah baginda.

Selain itu, Raja Muda Perlis bertitah bahawa kerjasama pelbagai agensi, terutamanya Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dalam usaha menyelenggara sistem saliran dalaman, jalan, pertanian, kampung dan sistem saliran sungai turut berjaya membantu mempercepatkan proses air surut.

Tindakan JPS Negeri yang segera membantu mengepam air keluar di kawasan-kawasan rendah turut membantu menyegerakan proses air surut tersebut.

Baginda juga bertitah, usaha MPK membantu proses pembersihan pascabanjir dari rumah ke rumah dan membersihkan laluan serta sekatan saliran longkang di taman perumahan dilihat sebagai inisiatif tambahan yang membantu mempercepatkan proses pembersihan.

Antara PPS yang disantuni baginda bersama-sama DYTM Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, bersama-sama dua puteri iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Sebanyak tujuh PPS yang telah disantuni oleh baginda termasuklah PPS Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis Kampus Arau, SK Guar Nangka, SK Batu Bertangkup, SK Bukit Keteri, SK Beseri, SK Behor Empiang dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis.

Turut mengiring ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Pelis (MAIPs), YBrs. Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Lawatan ini menzahirkan keprihatinan serta komitmen berterusan Institusi Diraja Perlis dalam memastikan kebajikan mangsa banjir sentiasa diberi perhatian sewajarnya.

Pada masa yang sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis, YBrs. Ku Chik Ku Mat Esa yang turut mengiringi Tuanku Raja Muda sepanjang lawatan tersebut menasihatkan agar mangsa banjir di negeri ini yang belum mendaftar dalam aplikasi MyIBJKM supaya segera melaksanakannya.

Aplikasi ini digunakan oleh JKM untuk membenarkan mangsa bencana melaksanakan proses pengurusan kendiri sebelum, semasa dan selepas bencana.

“Apabila anda log masuk ke aplikasi MyIBJKM, anda boleh mendaftar butiran peribadi anda sendiri dengan selamat, selain butiran peribadi ahli keluarga, membuat proses daftar masuk di PPS, membuat proses daftar keluar dari PPS, menyemak lokasi PPS terdekat dengan lokasi mangsa dan melihat butiran daftar masuk ke PPS,” jelas beliau.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi