Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKebiasaannya, bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sering dikaitkan dengan pelajar aliran sains tulen yang mengambil mata pelajaran seperti Kimia, Fizik, Biologi atau Matematik Tambahan. Persepsi ini telah membentuk satu kepercayaan umum dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan masyarakat bahawa pemilihan aliran pada peringkat sekolah menengah seolah-olah menentukan masa hadapan seseorang secara muktamad. Pelajar daripada aliran sains akan mengambil bidang pengajian seperti Perubatan, Geosains, Bioteknologi, Kejuruteraan, Sains Komputer dan seumpamanya, manakala pelajar yang tidak berada dalam aliran sains pula sering menganggap peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran dan membina kerjaya dalam bidang STEM adalah terhad, malah hampir tertutup. Namun begitu, adakah tanggapan ini benar dalam konteks pendidikan dan dunia pekerjaan masa kini?
Pada hakikatnya, landskap pendidikan dan kerjaya telah mengalami perubahan besar sejajar dengan perkembangan teknologi, keperluan industri dan dasar negara. Laluan pendidikan kini tidak lagi bersifat linear, sebaliknya lebih fleksibel dan terbuka kepada pelbagai latar belakang. Oleh itu, persoalan yang lebih tepat bukanlah sama ada peluang itu masih wujud, tetapi sejauh mana pelajar memiliki minat yang mendalam, memahami serta berani meneroka peluang yang tersedia.
Memecahkan Mitos Aliran: Salah Faham tentang STEM
Satu daripada mitos yang masih menebal ialah kepercayaan bahawa bidang STEM hanya sesuai untuk pelajar yang cemerlang dalam mata pelajaran elektif sains tulen seperti Biologi, Fizik, Kimia dan Matematik Tambahan. Namun begitu, walaupun penguasaan asas Sains dan Matematik adalah penting, hakikatnya bidang STEM merangkumi pelbagai disiplin yang luas, termasuklah teknologi maklumat, sains data, reka bentuk teknologi, alam sekitar dan inovasi digital. Banyak kerjaya dalam bidang STEM kini menuntut kemahiran analitik, kreativiti dan keupayaan menyelesaikan masalah, bukan sekadar hafalan konsep sains semata-mata.

Selain itu, terdapat juga salah faham bahawa laluan pendidikan kini bersifat sehala, sempit dan tidak boleh diubah. Realitinya, sistem pendidikan kini menyediakan pelbagai laluan alternatif yang membolehkan pelajar berpindah bidang, meningkatkan kelayakan dan membina kemahiran baharu pada peringkat yang berbeza dalam kehidupan mereka.
Laluan Alternatif ke STEM: Peluang yang Kurang Disedari
Bagi pelajar sekolah yang bukan daripada aliran sains, peluang untuk memasuki bidang STEM masih terbuka melalui pelbagai laluan pasca sekolah menengah. Program asasi dan prauniversiti tertentu misalnya, menawarkan kemasukan yang lebih fleksibel dengan penekanan kepada pengukuhan asas Sains dan Matematik. Selain itu, program diploma di politeknik dan kolej komuniti juga memberikan peluang kepada pelajar untuk mempelajari bidang teknikal dan teknologi secara berperingkat, bermula daripada tahap asas hingga lanjutan. Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan amali, pelajar bukan sahaja memperoleh pengetahuan teknikal, malah membina keyakinan dan kecekapan sebenar di tempat kerja.

Dalam konteks pembelajaran sepanjang hayat, konsep seperti Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) dan micro-credential semakin mendapat perhatian. Pendekatan ini membolehkan individu memperoleh pengiktirafan akademik dan profesional berdasarkan pengalaman kerja serta kursus jangka pendek yang diikuti. Hal ini bermakna, seseorang yang tidak bermula daripada aliran sains masih berpeluang membina laluan ke bidang STEM melalui peningkatan kemahiran secara berterusan.
Kemahiran Abad ke-21 sebagai Tiket Masuk ke Lapangan STEM
Perubahan dunia pekerjaan telah mengalihkan fokus daripada kelayakan akademik semata-mata kepada penguasaan kemahiran abad ke-21. Majikan kini lebih menilai kebolehan individu untuk berfikir secara kritikal, menyelesaikan masalah kompleks, berkomunikasi dengan berkesan dan bekerja dalam pasukan pelbagai disiplin. Kemahiran literasi digital dan keupayaan menyesuaikan diri dengan teknologi baharu juga menjadi keperluan asas dalam hampir semua bidang STEM.

Bagi pelajar aliran bukan sains, penguasaan kemahiran ini boleh menjadi kelebihan yang signifikan. Pelibatan dalam aktiviti kokurikulum, projek berasaskan masalah, pertandingan inovasi dan pembelajaran kendiri melalui platform digital mampu membina kemahiran yang relevan dengan keperluan industri. Sikap ingin belajar, berani mencuba dan tidak takut kepada kegagalan merupakan aset penting dalam lapangan STEM yang sentiasa berubah. Oleh itu, aliran pembelajaran di sekolah tidak seharusnya dilihat sebagai penentu mutlak masa hadapan. Sebaliknya, kemahiran dan sikap positif terhadap pembelajaran berterusan adalah kunci utama untuk menembusi bidang yang mencabar ini.
Kolaborasi Sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah dan Institusi Pendidikan Tinggi dalam Menyuburkan Minat terhadap STEM
Kolaborasi strategik antara sekolah dengan institusi pendidikan tinggi (IPT) memainkan peranan signifikan dalam menyuburkan minat pelajar terhadap bidang STEM sejak peringkat awal persekolahan. Melalui kerjasama ini, pelajar bukan sahaja didedahkan kepada kandungan STEM secara teori, malah turut berpeluang mengalami sendiri aplikasi dunia sebenar ilmu yang dipelajari di dalam bilik darjah. Program seperti lawatan akademik ke universiti, perkongsian kepakaran oleh pensyarah, projek penyelidikan mini, bengkel robotik dan pengaturcaraan komputer, serta pendedahan kepada kemudahan berteknologi tinggi seperti makmal penyelidikan dapat membuka minda pelajar tentang potensi dan hala tuju kerjaya dalam bidang STEM.


Pada masa yang sama, institusi pendidikan tinggi juga boleh bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah mahupun Jabatan Pendidikan Negeri bagi membimbing guru sekolah melalui latihan profesional, pembangunan modul pengajaran berasaskan inkuiri dan penyelesaian masalah, serta sokongan terhadap pelaksanaan pedagogi STEM yang lebih kontekstual dan autentik.
Kolaborasi strategik sekolah-IPT ini juga dapat memberikan peluang kepada pelajar bukan aliran sains untuk berinteraksi dengan mahasiswa dan penyelidik muda, sekali gus membina aspirasi, keyakinan diri dan identiti sebagai bakal saintis, jurutera atau inovator biarpun mereka bukan dari aliran sains di sekolah. Perkara yang lebih penting, jaringan kerjasama ini dapat menghubungkan jurang antara aliran bukan sains di sekolah dengan peluang pengajian di universiti serta kerjaya di industri. Dengan demikian, pelajar menyedari bahawa peluang kerjaya dalam bidang STEM masih terbuka luas walaupun mereka dari aliran sastera, dini, tahfiz dan sebagainya. Dalam jangka panjang, kolaborasi antara sekolah dengan universiti bukan sahaja menyokong pembangunan bakat STEM negara secara berterusan, malah menyumbang kepada pembentukan generasi pelajar yang celik sains, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran pembangunan lestari abad ke-21.
Peranan Institusi Pengajian Tinggi dan Industri
Kerajaan telah menunjukkan komitmen yang jelas dalam memperkasakan bidang STEM sebagai pemacu pembangunan negara. Pelbagai inisiatif diperkenalkan bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan, memperluas akses pendidikan sains teknikal dan menggalakkan penyertaan golongan muda dalam ekonomi berasaskan teknologi. Usaha ini turut disokong oleh institusi pendidikan yang menawarkan program lintas aliran dan pendekatan pengambilan yang lebih inklusif.
Universiti Kuala Lumpur (UniKL) misalnya merupakan antara institusi pendidikan tinggi teknikal terkemuka negara yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem pendidikan STEM di Malaysia. UniKL menerusi 13 kampus di seluruh negara menawarkan lebih 139 program pengajian merangkumi peringkat asasi, diploma, ijazah sarjana muda, sarjana hingga peringkat Doktor Falsafah (PhD), dalam bidang pendidikan sains teknikal dan aplikasi industri. Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Chemical and Bioengineering Technology (UniKL MICET) misalnya merupakan antara kampus teknologi kejuruteraan kimia terbesar di Malaysia. Kampus ini dilengkapi dengan 43 makmal bertaraf industri dan berteknologi tinggi (state-of-the-art laboratories) yang menyokong pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan secara amali serta berorientasikan penyelesaian masalah sebenar. Kemudahan makmal ini direka khusus untuk memenuhi keperluan bidang pengkhususan utama seperti teknologi polimer, kejuruteraan dan pengurusan alam sekitar, bioproses, proses kejuruteraan, serta teknologi makanan. Menariknya, UniKL menerima kemasukan pelajar bukan daripada aliran sains, sebaliknya menerusi laluan program diploma dan seterusnya menyambung pengajian pada peringkat ijazah.
Selanjutnya industri pula memainkan peranan penting melalui penyediaan latihan industri, pensijilan profesional dan pembelajaran berasaskan kerja. Kerjasama antara institusi pendidikan dengan industri membolehkan pelajar memperoleh pendedahan sebenar kepada persekitaran kerja, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka. Bagi menjayakan keseluruhan pelan ini, bimbingan daripada guru, kaunselor dan pensyarah amat penting untuk membantu pelajar memahami pilihan laluan yang tersedia dan membuat keputusan yang tepat.
Daripada Minat kepada Kerjaya: Harapan untuk Pelajar Malaysia
Kesimpulannya, peluang untuk melanjutkan pelajaran dan membina kerjaya dalam bidang STEM masih terbuka luas, termasuklah kepada pelajar yang bukan daripada aliran Sains. Perkara yang berbeza hanyalah laluan yang ditempuh, bukan destinasi yang ingin dicapai. Dengan pemahaman yang betul, sokongan sistem pendidikan dan kesediaan untuk membina kemahiran secara berterusan, pelajar mampu mengatasi batasan persepsi dan label aliran.
Setiap pelajar memiliki potensi dan minat yang unik. Dalam dunia yang semakin kompleks dan mencabar, pendidikan yang inklusif dan fleksibel adalah kunci untuk memastikan tiada bakat yang tercicir. STEM bukan milik segelintir kelompok, sebaliknya medan terbuka untuk semua yang sanggup berusaha, belajar dan berkembang. Harapan masa hadapan pendidikan Malaysia terletak pada keberanian pelajar untuk menzahirkan impian menjadi realiti dan kesediaan sistem pendidikan kita untuk membuka laluan ke arah merealisasikan impian tersebut.
Penulis bersama, Prof. Madya Dr. Azman Yusof, Pensyarah Kanan, Universiti Kuala Lumpur (MICET), Taboh Naning, 78000 Alor Gajah, Melaka.