Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya — Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan inisiatif baharu yang membenarkan pembaharuan lesen perniagaan sehingga tempoh maksimum tiga tahun bermula 1 Julai ini, berbanding dengan setahun sebelum ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud berkata bahawa langkah tersebut bertujuan untuk memperkukuh ekosistem perniagaan yang lebih mesra pelanggan, efisien dan progresif, selain membantu komuniti perniagaan menghadapi cabaran ekonomi semasa.
“Pendekatan baharu ini juga selaras dengan usaha DBKL dalam mempertingkatkan sistem penyampaian dan perkhidmatan yang lebih cekap, fleksibel serta responsif terhadap keperluan warga kota dan komuniti peniaga,” katanya dalam sidang media di Jabatan Wilayah Persekutuan hari ini.
Menurut beliau, kelayakan tempoh sah laku lesen yang dipanjangkan kepada dua atau tiga tahun ini tertakluk kepada permohonan berstatus “lulus tetap” dan memenuhi syarat ketat, antaranya termasuklah tiada rekod kompaun atau tunggakan bayaran sewa dengan DBKL.
Inisiatif ini bakal memberikan manfaat kepada lebih 95,000 pemegang lesen di ibu kota, merangkumi sebanyak 11 kategori sektor perniagaan kecuali dua sektor berikut:
Bagi menggalakkan pembaharuan pelbagai tahun, DBKL turut memperkenalkan insentif potongan kadar fi lesen, sebanyak 5% untuk pembaharuan tempoh dua tahun dan sebanyak 10% untuk pembaharuan tempoh tiga tahun.
Urusan pembaharuan kini dipermudahkan melalui sistem E-lesen yang telah ditambah baik, dan proses permohonan dan pembayaran dalam talian hanya mengambil masa kira-kira tiga minit.
Pemilik premis boleh mencetak sendiri lesen yang dilengkapi kod bar (bagi memudahkan semakan penguat kuasa DBKL) tanpa perlu hadir ke pejabat.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Hannah Yeoh, yang turut hadir menyifatkan inisiatif ini sebagai langkah drastik mengurangkan birokrasi dan kos operasi tersembunyi bagi peniaga di Kuala Lumpur.
Beliau menjelaskan, tempoh lesen yang lebih panjang amat membantu peniaga dari segi struktur kewangan dan operasi:
YB Hannah Yeoh turut menegaskan bahawa peniaga masih mempunyai pilihan untuk memperbaharui lesen secara tahunan sekiranya belum berkemampuan.
“Kita mahu menjadikan Kuala Lumpur benar-benar mesra perniagaan untuk semua pihak. Kita mahu mengurangkan birokrasi dan proses yang tidak perlu,” ujarnya semasa mengakhiri sidang media.