8 April 2021, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, penerima Anugerah Khas Tokoh UNESCO-KLWBC 2020.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menerima Anugerah Khas Tokoh UNESCO-KLWBC 2020 pada 8 April 2021.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Dr. Noraini Ahmad di Dewan Tun Hussein Onn, WTC bersempena dengan Anugerah Buku Negara 2020/2021.

Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, putera kelahiran Pontian, Johor, ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Sebelumnya beliau telah menyandang beberapa jawatan akademik dan pentadbiran, antaranya: Profesor Bahasa di Universiti Putera Malaysia, Profesor Bahasa di Universiti Malaya, Penyandang Kursi Pengajian Melayu Kementerian Pendidikan Tinggi di Beijing Foreign Studies University, Republik Rakyat China (sebanyak dua kali), Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Profesor Tamu di Goethe Universitat, Frankfurt, Jerman dan Universiti Sumatera Utara, Indonesia, Profesor Dunia Melayu di ISTAC, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dan Penyandang Kursi Za’ba di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Lantikan kepakaran beliau antaranya: Anggota Panel Penasihat Komunikasi dan Multimedia Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Anggota Panel Penasihat AKEPT Kementerian Pendidikan Tinggi, Ketua Kluster Tamadun dan Sosiobudaya YADIM, Felo Institut Masa Depan Malaysia, Penasihat Sekretariat Pengembangan Bahasa Melayu di Republik Rakyat China, dan Perunding Seberang Laut Kementerian Pendidikan Singapura. Beliau dikurniai Profesor Kehormat Pendidikan Bahasa dan Kebudayaan oleh Beijing Foreign Studies University dan Doktor Falsafah Kehormat daripada World Academy of Arts, California.

Pelibatannya dalam pengembangan bahasa dan persuratan Melayu selama lebih 40 tahun meliputi usaha di dalam negara, serantau dan antarabangsa, termasuk sebagai Setiausaha dan kemudian Pengerusi Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM). Tulisannya meliputi lebih 70 judul buku, kamus dan antologi puisi, lebih 500 rencana dan bab dalam buku, lebih 200 kertas kerja persidangan di Australia, Belanda, Brunei Darussalam, Cambodia, Indonesia, Jepun, Jerman, Korea Selatan, Perancis, Republik Rakyat China, Rusia, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan United Kingdom, selain di Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.