Oleh Norimanah Seman
9 April 2021, 08:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sambutan Hari Air Sedunia peringkat kebangsaan 2021, berlalu sudah. Namun begitu, tema “Jom Turun Sungai”  amat menarik untuk diperkatakan lebih-lebih lagi apabila warga Selangor dan Lembah Klang mengalami krisis air dan trauma apabila sungai tercemar dan terputus bekalan air.

Rantaian kisah sungai tercemar di Malaysia bukanlah perkara baharu. Apabila isu pencemaran Sungai Kim Kim berlaku pada 7 Mac 2019, lebih daripada 6000 penduduk Pasir Gudang, Johor, terjejas dan 111 buah sekolah diarahkan tutup. Dua tahun berlalu, apa-apa yang berlaku di Sungai Kim Kim ternyata bukan noktah. Pada 8 Mac 2021, dilaporkan terdapat sisa kimia yang dilepaskan ke sungai, begitu juga dengan sisa kumbahan dan sisa klinikal.

Di negara kita banyak sungai yang nazak, jika tidak diambil tindakan segera nescaya akan menemui ajal sebelum masanya, terutamanya di bandar besar. Di Johor misalnya, terdapat 16 batang sungai yang dilaporkan sebagai nazak yang berada di sekitar Pasir Gudang dan Johor Bahru.

Persoalannya, apabila sungai tercemar, apakah kita mempunyai alternatif selain daripada sungai sebagai sumber air mentah? Ada! Alternatif tersebut sudah diamalkan di beberapa buah negara seperti China, Denmark, England, Amerika Syarikat, Switzerland dan Bangladesh, iaitu sumber air bawah tanah. Namun begitu, penggunaan sumber air tanah secara tidak terkawal memberikan kesan yang jauh berlebih berbahaya kepada bumi. Kesannya juga sudah dapat dilihat di negara yang mengekstrak air bawah tanah tanpa had seperti kerosakan infrastruktur, percampuran air laut, pengurangan aliran sungai dan tasik, penenggelaman tanah serta kesan buruk kepada ekosistem.

Oleh itu, sumber air bawah tanah bukan pilihan yang tepat untuk menjamin bekalan air negara mencukupi.  Memilih sumber air bawah tanah sebagai sumber air menggantikan sungai juga bukan langkah yang bijak. Mahu tidak mahu, untuk mendapatkan sumber air mentah, sungai ialah pembekal utamanya.

Kenapa perlu diekstrak sumber air bawah tanah sedangkan sumber air pada permukaan di Malaysia terlalu banyak? Bagi memastikan bekalan air terawat mencukupi, sumber air di permukaan terutamanya sungai perlu diuruskan dengan cekap kerana 90 peratus sumber air mentah di Malaysia datangnya daripada sungai. Maka itu, amat bertepatanlah tema sambutan Hari Air Sedunia 2021 yang disambut pada 22 Mac setiap tahun, iaitu Menghargai Air (Valuing Water) dihayati bersama-sama. Hal ini dikatakan demikian kerana air sumber kehidupan dan mendapatkan air bersih merupakan hak asasi manusia.

Pada tahap ini, bukan hanya kerajaan yang perlu menjaga sungai, tetapi setiap rakyat di negara ini. Jika tidak keterlaluan, sungai perlu dijaga seperti nyawa kerana sungai sumber kehidupan. Sudah tiba masanya kerajaan lebih tegas dan menguatkuasakan sepenuhnya Seksyen 47 Akta 127 peruntukkan membuat tuntutan kos bagi kerja pembersihan sungai atau alur sungai daripada pihak yang mencemarkan atau menyebabkan pencemaran. Malah ada cadangan bahawa pengarah atau ahli lembaga pengarah syarikat yang terbabit dikenakan perintah khidmat sosial dengan membersihkan dan memperindahkan sungai yang telah dicemari oleh mereka.

Apabila berlaku sungai tercemar yang disebabkan pembuangan sisa perindustrian, penternakan dan akuakultur, kerajaan digesa untuk menggubal akta mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pelaku pencemaran. Kerajaan disalahkan kerana penguatkuasaan undang-undang ada lompangan, mentadbir sumber air tidak betul dan dikatakan tidak melaksanakan tugas dengan cekap.

Satu perkara yang dilupakan ialah kesedaran kepada golongan sasar, iaitu pemilik kilang, pengusaha ladang penternakan dan ladang pertanian tentang pentingnya menjaga sungai yang masih kurang. Maka itu, terjadilah masalah pencemaran bekalan air mentah dan gangguan bekalan air seperti yang berlaku di Selangor dan Lembah Klang pada tahun lalu. Sepanjang tahun 2020, lapan kali warga Selangor dan Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air disebabkan oleh sembilan kali pencemaran sungai – bermula Mac hingga Disember 2020.

Memang sukar apabila bekalan air terganggu, hampir kebanyakan aktiviti tergendala. Namun begitu, apabila difikirkan dari sudut yang lain, ada baiknya bekalan air terputus sementara. Hal itu bermakna pengurusan air negara berada pada tahap yang paling cekap kerana berjaya menghentikan bekalan air mentah tercemar daripada disalurkan kepada pengguna.

Lebih baik bekalan air terputus daripada rakyat terpaksa meminum air yang mengandungi bahan kimia berbahaya, sisa kumbahan dan logam berat. Dengan kecekapan pihak tertentu, pencemaran bekalan air mentah dapat ditangani dengan pantas. Indonesia misalnya, hingga hari ini masih tidak mampu untuk menangani pencemaran sungainya yang disenaraikan sungai paling tercemar di dunia, iaitu Sungai Citarum yang terletak di Jawa Barat.

Desakan daripada organisasi antarabangsa mengakibatkan kerajaan Indonesia memulakan program lapan tahun pembersihan  Sungai Citarum dengan matlamat untuk menjadikan air sungai tersebut selamat diminum menjelang 2025. Tetapi, hingga kini sisa kumbahan manusia, bahan kimia dari kilang dan sampah masih terus dibuang ke sungai.

Apa-apa yang berlaku di Malaysia, menjadikan setiap individu lebih peka bahawa usaha gigih kerajaan tidak pernah putus untuk menjamin sumber air mentah dari sungai selamat digunakan. Walaupun mengalami gangguan bekalan air, namun sungai di Malaysia tidak tersenarai dalam 10 sungai paling tercemar di dunia.

Pengurusan air di Malaysia jauh lebih baik daripada negara jiran, cuma mungkin sudah tiba masanya teknologi takungan air perlu diubah. Memetik pendapat Pengerusi Pasukan Bertindak Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian Akademi Profesor Malaysia merangkap Felo Utama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datuk Ibrahim Komoo, bahawa teknologi takungan air yangProfesor Emeritus Dato' Ibrahim Komoo diamalkan sekarang sudah ketinggalan dan tidak sesuai dengan pembangunan pesat di sepanjang sungai pada hari ini yang menjadi punca pencemaran sungai. Sumber air mentah akan mudah tercemar dengan teknologi takungan air kerana takungan air berada di hulu sungai mengalir berpuluh kilometer di sepanjang sungai sebelum disedut di loji pembersihan yang terletak di hilir sungai. Teknologi terbaik dan selamat adalah dengan mengalirkan air terus ke dalam paip yang menghubungkan takungan ke loji pembersihan tanpa melalui aliran sungai yang terletak di kawasan perindustrian.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.