9 April 2021, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tragedi komponen kren jatuh dari tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi – Hulu Klang (SUKE) merupakan kemuncak kepada keputusan penutupan sementara tapak pembinaan berkenaan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) selepas dua insiden sebelum itu berlaku membabitkan projek berkenaan. Kali ini, insiden tersebut meragut tiga nyawa.

Dua minggu sebelum kejadian ini berlaku, tragedi perancah besi runtuh dan menghempap sebuah van pekerja memulakan episod risiko tapak pembinaan ini. Kejadian akibat kecuaian pemandu sebuah lori yang melanggar perancah besi ini meragut dua nyawa penumpang van berkenaan. Keadaan itu membuka mata banyak pihak, lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di kawasan berdekatan. Sudah sekian lama mereka bersabar dengan keadaan lalu lintas di situ, namun apabila sudah ada nyawa melayang, kesabaran itu perlu bernoktah.

Terdahulu, projek ini memulakan kisah kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat melalui tragedi dinding parapet jatuh, menghempap kereta seorang wanita di laluan Jalan Lingkaran Tengah Dua (JLT 2) berhampiran Bandar Tun Razak. Ketika kejadian itu berlaku, wanita berkenaan cedera dan kecuaian dikenal pasti sebagai punca kejadian ini.

Cukuplah dengan tiga insiden itu, JKKP mengeluarkan arahan memberhentikan kerja pembinaan dan bertindak menyiasat secara komprehensif pelaksanaan dan amalan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tapak pembinaan berkenaan.

Insiden yang diketengahkan ini sebenarnya bukan perkara baharu yang berlaku dalam kehidupan insan bergelar pekerja. Boleh dikatakan pada setiap hari, ada saja kejadian yang berlaku. Mengikut data yang dikeluarkan oleh JKKP dalam Statistik Laporan Kemalangan Pekerjaan Mengikut Negeri di Malaysia hingga November 2020 menunjukkan 193 kematian akibat kemalangan di tempat kerja dilaporkan berlaku di seluruh negara dengan Johor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 37 kes, diikuti dengan Selangor (35 kes), Sarawak (25 kes) dan Sabah (20 kes).  Secara umumnya, Selangor mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi dengan jumlah keseluruhan 1532 kes. Daripada jumlah itu, 59 kes melihatkan keadaan hilang upaya kekal, sementara 1443 kes pula melibatkan kecederaan tidak hilang upaya kekal.

Persoalan siapa yang bersalah atau apa kesalahannya, hanya retorik yang tidak berkesudahan. Apa-apa yang perlu diperkatakan, apakah tindakan kita untuk memastikan risiko kehilangan nyawa, cedera parah, cerdea ringan atau apa-apa jua keadaan mudarat di tempat kerja dapat dikawal? Mari kita ungkap perlahan-lahan bidang keilmuan keselamatan dan kesihatan pekerjaan ini. Sebenarnya, untuk memulakan kajian dalam bidang ini, kita harus bertanya soalan, apakah tanggungjawab yang wujud antara kerja, pekerja dan tempat kerja?

Sering kali kita dengar dan baca, apabila berlaku tragedi kemalangan melibatkan tempat kerja, orang ramai akan menyalahkan kerajaan. Kononnya, pihak kerajaan tidak memastikan keselamatan di tempat kejadian lalu berlaku kemalangan. Benarkah begitu? Siapakah yang meletakkan risiko pada tempat kerja itu, kerajaan atau entiti yang kita sebut sebagai majikan? Siapakah majikan ini? Apakah mereka tidak terikat dengan undang-undang? Wujudkah undang-undang yang membela nasib pekerja dan semua pihak?

Sejak era perindustrian moden pertama mula bertapak di dunia, undang-undang tentang kerja, pekerja dan tempat kerja telah pun wujud. Malah, kajian mengenai perkara ini disebut sebagai Occupational Safety Health (OSH). Latar belakang OSH secara rasmi bermula pada tahun 1473. Mengikut rekod, pada tahun tersebut, Ellenborg, pakar perubatan Jerman menerbitkan sebuah risalah mengenai penyakit yang terjadi akibat pekerjaan melombong emas. Menjelang tahun 1556, usaha itu kemudian diteruskan oleh penyelidik Jerman, Agricola dengan mengenal pasti penyakit yang berlaku kepada pelombong emas.

Pada sekitar tahun 1713, Ramazini yang diangkat sebagai Bapa Kesihatan Pekerjaan, mencadangkan kepada ahli perubatan supaya bertanyakan tentang jenis kerja, bidang kerja dan cara kerja yang dilakukan oleh pesakit semasa mendiagnosis bagi mendapatkan maklumat yang tepat tentang keadaan sesuatu penyakit itu. Hal ini dikatakan demikian kerana kesakitan yang dihidapi itu mungkin berpunca daripada aktiviti pekerjaan yang dilakukan dan tanpa sedar lantas telah menjejaskan kesihatan pesakit.

Revolusi Industri Eropah bukan sahaja membuka era baharu dunia, tetapi turut melakarkan rekod tidak baik terhadap golongan pekerja dan orang awam. Banyak kecederaan yang berlaku akibat kerja yang dilakukan menyebabkan orang ramai dihimpit antara rela melakukan kerja dengan pasrah menerima kesakitan yang mungkin berlaku pada bila-bila masa, tanpa sebarang pembelaan.

Justeru, menjelang tahun 1833, sebuah undang-undang industri diperkenalkan. Akta Kilang Inggeris (English Factory Act) 1833, diperkenalkan dalam undang-undang buruh, United Kingdom. Akta ini menggariskan tentang pampasan akibat kemalangan di tempat kerja. Undang-undang ini lebih berbentuk ganti rugi yang ditetapkan untuk menyelesaikan pertikaian antara pekerja dengan pihak pengusaha industri akibat kemalangan yang berlaku. Perkara yang terkandung dalam undang-undang ini merupakan satu bentuk perlindungan yang menyediakan pampasan sebagai ganti rugi kemudaratan terhadap pekerja yang hilang pendapatan untuk satu jangka masa. Meskipun begitu, seseorang pekerja itu terus-menerus berhadapan dengan risiko kecederaan walaupun ada pampasan disediakan melalui undang-undang.

Kesimpulannya, undang-undang ini tidak mengurangkan jumlah kemalangan. Sebaliknya, ancaman kemalangan sentiasa ada di tempat kerja dan pemilik industri tidak terikat dengan sebarang peraturan untuk menyediakan tempat kerja dan cara kerja selamat kepada pekerja. Menyedari keadaan itu, Herbert W. Heinrich membangunkan teori domino pada tahun 1930, lalu terbentuklah kaedah yang dinamakan sebagai Bahavioural Based Safety (BBS) atau Keselamatan Berasaskan Kelakuan (KBK) yang diamalkan secara meluas dalam fasa ketiga revolusi industri menjelang tahun 1980-an di seluruh dunia. Pada awal kajian, Heinrich mendapati kelakuan manusia seperti pekerja perlu dikawal supaya mereka tidak bertindak melakukan sesuatu yang tidak selamat.

Menurut Heinrich, kemalangan berlaku dalam lima keadaan seperti berikut:

 

Melalui klip ini, faktor kelakuan manusia dan persekitaran tidak selamat merupakan punca jelas sesuatu kemalangan bermula. Keadaan relevan ini cukup untuk membuatkan pemilik industri menyalahkan pekerja setiap kali berlaku kemalangan. Walhal dalam teori ini, kegagalan pihak pengurusan membuat keputusan yang betul dan tepat juga menjadi punca wujud persekitaran yang tidak selamat lalu mengakibatkan berlaku kemalangan. Meskipun begitu, pihak pengurusan industri tetap dengan pendirian menyalahkan pekerja semata-mata tanpa melihat tentang keputusan mereka untuk meningkatkan keselamatan tempat kerja.

Menjelang tahun 1970, Frank Bird membangunkan kajian Loss Control Theory. Hasil penelitian, Bird mendapati, kawalan pengurusan lemah dengan keputusan pengurusan yang tidak tepat merupakan punca utama yang mendorong kemalangan tempat kerja. Idea kualiti pengurusan berkesan ini sangat popular dalam kalangan kesatuan sekerja kerana tanggungjawab menyediakan loji selamat terletak pada keputusan dan kawalan pengurusan industri. Justeru, teori Bird dilihat sebagai asas untuk membela pekerja bagi menyemak imbang kuasa pengurusan dalam industri.

Menyedari kepincangan ini sedang berlaku di Great Britain, Parlimen United Kingdom (UK) kemudian menubuhkan Suruhanjaya Keselamatan Diraja (Royal Safety Commission) yang diketuai oleh Lord Robens. Persidangan suruhanjaya ini mengeluarkan laporan yang mendapati bahawa terdapat banyak undang-undang OSH yang berpecah-belah. Semua undang-undang ini telah lapuk dengan liputan terhad (hanya bahaya dan tempat kerja) serta bersifat preskriptif. Keadaan ini yang menyebabkan orang ramai berfikir bahawa keselamatan itu hanya terhadap perkara yang dikuatkuasakan oleh kerajaan walhal isu keselamatan mencakupi pelbagai aspek mengikut keperluan dalam pelbagai keadaan dan masa. Suruhanjaya ini kemudian memperkenalkan kaedah Perundangan Peraturan Sendiri (Self Regulatory Legislation) yang kemudian diterjemahkan menjadi undang-undang yang dikenali sebagai Akta HASAWA 1974 (Health and Safety at Work Act).

Melalui akta baharu ini, tanggungjawab majikan lebih terarah dan teratur dalam mengurus keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja. Kualiti pengurusan berkesan dapat dicapai dengan memberikan ruang dan peluang kepada kedua-dua pihak iaitu pihak pengurusan tertinggi bersama-sama wakil pekerja bekerjasama membentuk Prosedur Operasi Standard (SOP) selamat bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua orang diutamakan.

Ledakan era perindustrian yang berlaku di United Kingdom dan negara maju turut sama tersebar ke negara Komanwel yang lain termasuk Malaysia. Walaupun pada ketika itu negara kita mempunyai undang-undang industri secara preskriptif, namun tragedi yang berlaku pada tahun 1992 meruntun jiwa rakyat Malaysia. Kisah aneh bersulam duka, bagaikan Sungai Buloh ditimpa bom atom. Sebuah kilang mercun yang beroperasi sejak tahun 1978 bernama Bright Sparkler meledak secara tiba-tiba dengan kesan letupan kuat menggegarkan bumi Sungai Buloh sejauh tujuh kilometer. Mengikut rekod Hospital Kuala Lumpur, seramai 26 orang meninggal dunia dan 103 orang cedera diberikan rawatan melalui operasi sembilan buah ambulans ke tempat kejadian.

Kemudaratan itu jelas menceritakan perihal persepsi keselamatan itu hanya pada perkara yang dikuatkuasakan kerajaan dan bukan sebuah resolusi tanggungjawab untuk memastikan semua orang selamat, sihat dan sejahtera.

Menyedari keadaan itu, sebuah akta baharu yang berteraskan perundangan peraturan sendiri dirangka dan dibentangkan di Parlimen. Akta 514 yang diberikan nama Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) kemudian diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1994 bagi menguatkan perundangan sedia ada. Melalui akta baharu ini, para majikan dan pemilik perusahaan diberikan kebebasan untuk merangka sendiri pelan dan pengurusan OSH di loji (kilang atau tempat kerja) milik mereka. Mereka diwajibkan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menzahirkan OSH sendiri. Sebuah polisi berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dibentuk sebagai lambang muafakat serta keakuran komitmen pihak pengurusan tertinggi dalam mengutamakan keselamatan sesiapa juga yang berada dalam premis milik mereka.

Pada November 2020, rang undang-undang pindaan akta ini dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan. Bersama-sama pindaan ini, turut dikemukakan juga pemansuhan Akta Kilang dan Jentera 1963. Pindaan terhadap seksyen 19 dan 23 AKKP, meminda hukuman terhadap majikan dinaikkan sejajar dengan keadaan industri. Bacaan kali pertama di Dewan Rakyat menjelaskan, pindaan terhadap seksyen 19 menetapkan, denda RM50 ribu dinaikkan kepada RM500 ribu bagi majikan yang tidak mempunyai polisi keselamatan dan kesihatan pekerjaan sejajar dengan undang-undang AKKP.

Selain itu, majikan juga boleh disabitkan denda baharu melalui pindaan seksyen 23 yang memperuntukkan hukuman RM20 ribu kepada RM200 ribu, bagi kesalahan melanggar peruntukan seksyen 21 dan 22, iaitu mengenai kewajipan pengilang (majikan) ke atas loji dan bahan bagi kegunaan semasa bekerja. Walaupun pindaan ini hanya sempat dibentangkan bagi bacaan kali pertama dan kedua, sebelum Parlimen digantung selepas perisytiharan darurat penyakit berjangkit oleh Yang di-Pertuan Agong pada Januari 2021. Namun demikian, kelulusan pindaan ini sangat diperlukan oleh semua pihak terutama dalam menggantikan undang-undang preskriptif kepada Perundangan Peraturan Sendiri yang bersifat progresif dan dinamik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.