Oleh Avatar photo Aninah Janang
6 Jun 2021, 12:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) perlulah mengikut kesesuaian murid dan guru.

“Dalam melaksanakan PdPR, KPM percaya bahawa murid dan guru masing-masing ada kekangan, khususnya yang berkait dengan peranti dan capaian Internet. Oleh itu, PdPR perlulah dilaksanakan mengikut kesesuaian masing-masing,” ujar Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, menerusi sidang media khasnya pada pagi ini.

Dr. Radzi menjelaskan kaedah penjajaran kurikulum dalam sidang medianya.

Oleh itu, bagi memantapkan PdPR, KPM juga dari semasa ke semasa akan meningkatkan kursus dalam kalangan guru terutamanya dalam konteks penambahbaikan PdPR dan aspek pendigitalan.

KPM turut memberikan perhatian yang serius sekiranya terdapat murid dan guru yang terjejas akibat pandemik COVID-19 khususnya dari segi psikologi. Maka itu, KPM menyediakan sokongan yang meliputi kaunseling untuk guru dan murid, serta menerusi bimbingan rakan sebaya.

Selain itu, Dr. Radzi turut memberikan jawapan berhubung dengan kebimbangan ibu bapa terhadap pelaksanaan kurikulum 2021. Menurutnya, sejak tahun lalu KPM telah melakukan penjajaran kurikulum yang mempunyai tiga komponen utama, iaitu Kandungan Asas yang meliputi pengetahuan, kemahiran dan nilai asas yang perlu dikuasai; Kandungan Tambahan (pengetahuan, kemahiran dan nilai yang menyokong kandungan asas); dan Kandungan Pelengkap (pengetahuan, kemahiran dan nilai yang melengkapkan kandungan asas).

Dalam hal ini, Dr. Radzi memaklumkan bahawa penekanan Kandungan Asas akan diberikan lebih tumpuan berbanding dengan Kandungan Tambahan dan Kandungan Pelengkap. Malah, Dr. Radzi percaya bahawa para guru lebih mengetahui tentang kebolehan dan keupayaan anak didik mereka kerana matlamat akhir penjajaran ini adalah untuk memastikan kemenjadian murid dapat dicapai.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.